PADANG TERAP: Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin mampu memenangi hampir kesemua daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangannya, Khairul Anuar Ramli berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada petunjuk positif diterima PN, menerusi kajian dilakukan serta persiapan jentera dan bilik gerakan di seluruh Kedah.

Katanya, trend sokongan rakyat terutamanya terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor merupakan antara faktor utama yang membantu menarik undi kepada PN.

“Sasaran secara terperinci akan dikeluarkan PN Kedah apabila tiba waktunya nanti oleh Muhammad Sanusi sendiri selaku Pengerusi PN Kedah. Saya cuma boleh nyatakan bahawa angka sasaran kita untuk PRU kali ini jauh lebih baik daripada PRU14. Mungkin kita boleh menang hampir kesemua kerusi PRU yang ditandingi dan ini akan memberikan tambahan kerusi kepada pembentukan kerajaan PN di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar di bilik gerakan parti tersebut di Kampung Tanjung Kiri, Kuala Nerang di sini.

Katanya, kepimpinan Muhammad Sanusi ketika ini dilihat membawa keyakinan rakyat kepada PN bersandarkan kepada kepimpinan yang telus, bersih dan berintegriti.

Pentadbiran sebegitu katanya, tidak hanya mendatangkan keselesaan kepada rakyat malah turut memberikan keyakinan kepada pelabur hingga negeri ini menerima pelaburan asing tertinggi dalam sejarah, pada tahun lalu.

“Mengenai pembahagian kerusi pula, kesemua tiga parti utama menunjangi PN iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan akan diberikan kerusi untuk bertanding di Kedah. Keputusan mengenainya diputuskan melalui mesyuarat antara semua parti dalam PN dan tidak hanya diputuskan oleh parti tertentu saja. Sampai masanya nanti, akan kami umumkan kerusi-kerusi tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Bersatu di Kedah, Khairul berkata, selaku sebuah parti yang baru ditubuhkan enam tahun lalu, Bersatu mungkin tidak akan dapat duduk sama rendah atau berdiri sama tinggi dengan Pas serta UMNO yang sudah lama bertapak dalam arena politik tanah air.

“Tetapi perlu diingat, setakat ini sudah ada dua Perdana Menteri dari Bersatu walaupun parti ini masih baru. Kita juga berjaya mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan dalam PRU14.

“Maknanya walaupun kita kecil, tetapi penerimaan rakyat dan akar umbi terhadap Bersatu tak boleh dipandang enteng. Bersatu juga sering diserang Barisan Nasional (BN) walaupun sering dilabel sebagai parti ‘nyamuk’ dan apabila itu berlaku, maknanya kami ada meninggalkan kesan atau impak dalam politik negara hingga menyebabkan musuh bimbang serta gerun,” katanya. – UTUSAN

The post PN yakin menang banyak kerusi di Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *