KUALA LUMPUR: “Poligami itu indah kalau suami berlaku adil.”

Itu penegasan pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, berhubung tindakan suaminya, Syamsul Yusof yang membelakangkan dirinya ketika membuat keputusan berkahwin lain.

Ibu dua anak itu malah menjelaskan, dia tidak pernah bersikap antipoligami seperti yang sering didakwa segelintir warga maya sehingga dirinya dilabel sebagai isteri derhaka.

“Saya ditipu oleh suami sendiri sebab dia tidak mahu berbincang sebelum ini. Jadi, semua perkara sudah berlaku dan selama ini, saya sudah berusaha untuk menyelesaikan masalah rumah tangga.

“Saya sudah tunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan buat yang terbaik untuk anak-anak. Saya sudah berbincang dengan ahli keluarga dan mereka semua bersetuju dengan tindakan yang dibuat hari ini,” katanya.

Ditanya berhubung kesihatan mental selepas melalui kemelut rumah tangga berpanjangan, Puteri Sarah memberitahu, keadaan dirinya masih baik dan dia mampu mengurus emosinya.

“Bila ada kerja di set penggambaran, saya rasa lebih kuat kerana dapat berjumpa kawan-kawan dan bersosial. Segala masalah saya letak belakang dan saya sangat lega sekarang,” katanya.

Puteri Sarah malah memberitahu, kedua-dua anaknya berada dalam keadaan baik, tetapi tidak mengetahui kehadirannya ke mahkamah.

“Anak-anak tidak tahu apa-apa dan mereka masih berada di bawah jagaan emak serta ibu mentua saya.

“Mereka gembira seperti biasa dan tidak tahu apa-apa mengenai proses permohonan perceraian hari ini,” katanya.

The post ‘Poligami itu indah kalau suami berlaku adil’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *