PETALING JAYA: Polis akan membekukan akaun serta menyekat pengeluaran wang terhadap akaun-akaun yang menjadi mangsa penipuan siber.
Langkah itu merupakan tindakan segera akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, NSRC merupakan platform bertujuan membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.
“Justeru orang ramai boleh menghubungi NSRC melalui talian 997 yang beroperasi pukul 8 pagi sehingga 8 malam.
“Tindakan segera akan dijalankan dengan membekukan akaun serta menyekat pengeluaran wang seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noorsiah berkata, mangsa penipuan juga perlu membuat laporan polis dan laporan ke pihak bank berkaitan untuk tindakan siasatan lanjut.
“NSRC merupakan inisiatif bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan menangani kes-kes jenayah siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.
“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dalam menyalurkan maklumat mengenai perbankan peribadi apabila diminta oleh mana-mana pihak,” jelasnya. – UTUSAN
The post Polis beku akaun, sekat pengeluaran wang babit akaun mangsa penipuan siber appeared first on Utusan Malaysia.