SEGAMAT: Polis menumpaskan kegiatan perjudian lumba kuda yang beroperasi di sebuah lokasi terbuka di Jalan Dato’ Haji Mohd. Noah, Kampung Abdullah, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, lokasi itu yang juga menjadi tempat berkumpul kaki judi terbabit diserbu pukul 2.20 petang.

“Seramai enam individu termasuk penganjur dan pemain berusia antara 55 hingga 72 tahun warga tempatan telah ditahan.

“Serbuan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat itu telah diintip beberapa jam
sebelum itu.

“Pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu turut dirampas, antaranya tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, senaskah akhbar berbahasa Cina serta wang tunai berjumlah RM2,089,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Zamry memberitahu, kaki judi lumba kuda kini mengubah taktik dengan menggunakan kawasan terbuka dan kelihatan santai di kawasan tumpuan warga emas berbanding lokasi dalam bangunan yang lazimnya menjadi pusat aktiviti perjudian itu.-UTUSAN

The post Polis berkas warga emas kaki judi kuda appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *