PETALING JAYA: Polis tidak dapat mengesahkan terdapat membabitan agensi perisikan luar dalam kejadian penculikan lelaki Palestin di Jalan Mayang di ibu negara  pada 28 September lalu seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, setakat ini, siasatan masih dijalankan berhubung kes berkenaan.

“Polis sendiri tidak tahu macam mana boleh timbul nama ejen Mossad ini. Saya tidak tahu dari mana dia (wartawan) dapat. Siasatan kita  sedang berusaha mengenal pasti jika wujud kaitan agensi berkenaan dalam utusan penculikan itu.

“Sehingga kini, kita tidak dapat mengesahkan lagi agensi-agensi luar yang terbabit dalam kes ini. Jadi bila timbul spekulasi ini dia mengganggu siasatan kami,” kata beliau selepas merasmikan Program Kerjasama Strategik ‘RapidKL Safety Point’, di Stesen MRT Kampung Batu, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memohon supaya siasatan berhubung kes penculikan itu tidak diganggu kerana membabitkan sensitiviti.

“Apabila membabitkan sensitiviti dan sebagainya, ia tidak sewajarnya disiarkan. Yang kedua ialah isu keselamatan, saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat ada beberapa saksi namanya sudah disiarkan.

“Jadi ini tidak baik untuk siasatan kami, ia mengganggu siasatan, sebab itu saya berharap media dapat memberikan kerjasama, jika perkara itu boleh beritahu sudah lama beritahu,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, sebarang spekulasi yang timbul boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.

Jumaat lalu, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini di atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.- UTUSAN

The post Polis KL belum sahkan Mossad culik lelaki Palestin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *