KUALA PILAH: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu serta lemah mental yang dilaporkan hilang di daerah ini sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, wanita yang dikenali sebagai Rabaah Laily, 34, itu, disedari hilang semasa dia dan ibunya berusia 56 tahun menunggu giliran untuk mengambil ubat di Bahagian Farmasi Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini.

“Ketika menunggu giliran, ibunya menyedari anaknya itu telah tiada. Ibunya telah bertanya kepada pengawal keselamatan bertugas namun tiada maklumat diperoleh. Bagaimanapun, kejadian seperti ini sudah kali ketiga berlaku namun tiada laporan polis dibuat.

“Bagaimanapun, kali ini, ibu mangsa telah membuat laporan polis kerana anaknya gagal ditemui dan satu hebahan kepada semua penugasan telah dibuat pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Amran lagi, wanita OKU berkenaan merupakan pesakit psikiatri dan menerima rawatan sejak berusia 15 tahun.

Menurutnya, semasa kehilangan, wanita OKU itu mengenakan pakaian berwarna coklat, seluar coklat, tudung berwarna coklat berbelang hitam dan kasut berwarna cerah.

“Daripada segi fizikal pula, wanita OKU berkenaan berkulit putih dengan ketinggian 160 sentimeter dengan anggaran berat 74 kilogram. 

“Selain itu, wanita OKU berkenaan juga memiliki bentuk muka bulat, rambut lurus pendek, kening tebal, mata hitam bulat, hidung mancung, dan terdapat tanda pembedahan di pergelangan tangan sebelah kiri,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, di talian 06-484 2999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.-UTUSAN.

 

The post Polis minta bantuan orang ramai kesan wanita OKU hilang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *