BUTTERWORTH: Polis menafikan dakwaan kemalangan dua buah motosikal di Jalan Perusahaan Sungai Lokan, dekat sini disebabkan dikejar oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku pada pukul 5.20 petang, Rabu lepas.

Katanya, semasa kemalangan, dua anggota URB yang sedang menjalankan rondaan melalui Jalan Sungai Lokan dan dalam perjalanan menghala ke Sungai Dua.

“Tiada kejadian anggota URB mengejar  salah seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan kemalangan seperti yang didakwa. Berdasarkan rakaman video terbabit, jelas menunjukkan mangsa memotong motosikal URB sebelum merempuh sebuah lagi motosikal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota URB memberi bantuan kepada mangsa kemalangan dan menjalankan kawalan trafik bagi melancarkan lalu lintas.

“Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular dalam laman sosial sebuah video berdurasi 40 saat berhubung kemalangan dua buah motosikal didakwa disebabkan dikejar anggota URB. – UTUSAN

 

The post Polis nafi anggota URB punca kemalangan di Jalan Sungai Lokan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *