KUALA SELANGOR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung paparan kertas undi pos menyokong salah seorang calon Parlimen Kuala Selangor di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, laporan itu dibuat oleh orang awam kira-kira pukul 5 petang semalam.    

“Individu itu tampil selepas mendakwa melihat satu hantaran dimuat naik di laman Facebook mengenai penyebaran satu kertas pengundian pos yang sudah ditanda.

“Penyebaran kertas undi pos itu mungkin akan menjejaskan dan mengganggu perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya ketika ditemui semasa proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini, hari ini.

Jelas Ramli, pihaknya akan berbincang dengan  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan kertas undi di media sosial.

“Orang ramai diminta mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM),” katanya. – UTUSAN

The post Polis siasat kes sebar kertas undi pos appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *