SEPANG: Polis menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri dan melerai kenderaan menerusi serbuan berasingan pada 5 dan 13 Disember lalu di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pada 5 Disember lalu, satu laporan diterima daripada seorang pengadu mengenai kehilangan kereta jenis Proton Satria miliknya yang diletakkan di lot parking kondominium di Cyberjaya.

Katanya, hasil maklumat dan risikan dijalankan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menahan dua lelaki berusia 26 tahun dan 38 tahun yang bekerja sebagai pengurus bangunan di kondominium berkenaan serta pemandu trak tunda pada hari sama.

“Dalam serbuan kedua pula, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga pemilik premis barangan lusuh di Klang diikuti penahanan seorang lagi suspek di sekitar daerah ini.

“Modus operandi sindiket ini adalah mencuri kenderaan yang telah lama ditinggalkan di kawasan parkir yang kemudian ditunda ke sebuah bengkel sebelum dileraikan. Kita dapati mereka telah jual sebahagian komponen dan rangka kenderaan pula akan dijual di kedai barangan lusuh,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sepang di sini, hari ini.

Wan Kamarul berkata, enam kenderaan yang dicuri membabitkan dua buah kereta jenis Proton Satria, dua buah Proton Wira serta dua buah Proton Gen 2.

Katanya, polis turut merampas 23 jenis komponen seperti bumper, pintu dan bonet kenderaan, rangka kereta serta sebuah trak tunda.

“Kesemua suspek masih ditahan reman sehingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN

The post Polis tahan empat lelaki terlibat kegiatan curi, lerai kereta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *