JOHOR BAHRU: Tindakan seorang pemandu e-hailing membakar bendera sebuah parti politik di Taman Universiti, Skudai, di sini tengah malam tadi membawa padah apabila dia ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Fariz Ammar Abdullah berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan pada pukul 12.10 tengah malam.

Menurutnya, suspek ditahan sejurus selepas bertindak membakar beberapa bendera parti politik menggunakan pemetik api.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu berbuat demikan kerana motif peribadi  dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana pihak lain.

“Dia juga dikenakan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pihaknya merakamkan keterangan daripada beberapa saksi yang ditemui di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda sekiranya bersalah.

Polis menasihati orang ramai supaya bersikap rasional dan tidak melakukan sebarang perbuatan menyalahi undang-undang khususnya dalam bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang sedang berlangsung ketika ini. –UTUSAN

The post Polis tahan lelaki bakar bendera parti appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *