KOTA BHARU : Polis menahan tiga pengedar dadah dan merampas sepucuk pistol dan 5,200 biji pil kuda dalam serbuan berasingan di daerah ini dan Pasir Mas.

Kesemua suspek berusia 27, 29 dan 36 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan yang dijalankan bermula kelmarin sehingga semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan pertama pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun pada pukul 5.30 petang, kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada belakang pinggang lelaki itu membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik berwarna biru yang mengandungi 2,000 biji pil kuda.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, polis menjalankan serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu kira-kira pukul 10.30 malam pada hari yang sama dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Pemeriksaan di dalam plastik hitam yang dipegang suspek turut menemui sebanyak 2,000 biji pil kuda,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

 

SEBAHAGIAN daripada barangan yang dirampas selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan berasingan di Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI

Muhamad Zaki memberitahu, selepas itu, pihaknya telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu di sini pada pukul 12.40 tengah malam semalam dan menahan seorang lagi suspek berusia 27 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Viva telah menjumpai 1,200 biji pil kuda, sepucuk pistol Retay 84 FS dan 34 butir peluru.

“Siasatan lanjut mendapati, kumpulan itu mempunyai perancangan rapi berdasarkan ketelitian mereka dalam mengendalikan senjata api. 

“Oleh itu, ketiga-tiga suspek akan disiasat secara teliti untuk melihat rangkaian-rangkaian lain yang terlibat dengan mereka,” ujarnya.

Muhamad Zaki memberitahu, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin dan semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.-UTUSAN

The post Polis tahan tiga pengedar dadah rampas pistol dan pil kuda appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *