‘Tian Chua pesaing utama’

UTUSAN: Yakin dapat mempertahan kerusi Parlimen Batu? Memandangkan kali ini menyaksikan pertembungan antara 10 penjuru.

PRABAKARAN: Tahap keyakinan saya untuk mempertahan Parlimen Batu untuk PRU15 ini memang tinggi. Motivasi untuk saya bekerja lebih keras memang ada kerana ini adalah perlawanan antara satu dengan sembilan.
Saya penyandang kerusi ini, jadi ia akan beri banyak sebab untuk saya buktikan bahawa saya sudah turun padang dan melaksanakan amanah dengan baik sepanjang menjadi Ahli Parlimen Batu.

Apa komen apabila sebelum ini Tian Chua memaklumkan beliau menyeru penyokong PH untuk mengundi PH di Parlimen Batu?
Penyokong PH sampai sekarang akan menyokong PH, mana-mana calon parti yang bertanding ada dia punya ‘tabung’ pengundi. Saya kini cuba meyakinkan pengundi bukan penyokong parti untuk mengundi saya.

Sebab itu saya buktikan bahawa saya boleh buat kerja, amanah dan sopan dengan orang lain walau bagaimanapun perlu diakui ia bukan mudah sebab tidak pernah ada dalam sejarah pertembungan antara 10 penjuru, memang sukar untuk menang tetapi saya cuba.

Antara 10 calon yang bertanding di Parlimen Batu, siapakah yang memberi persaingan sengit untuk PRU15?
Tian Chua, sebab beliau sebelum ini adalah PH dan mempunyai penyokong tersendiri dan beliau adalah ‘orang lama’. Malah, sekarang ini bertanding melawan PH jadi mungkin akan memecahkan undi.

Pengundi atas pagar dikatakan sebagai penentu, macam manakah strategi untuk memikat kumpulan pengundi tersebut?
Pengundi atas pagar sekarang di Parlimen Batu mempunyai 10 pilihan calon, jadi tiada alasan untuk tidak keluar mengundi. Saya rasa kumpulan pengundi tersebut kena bijak memilih calon yang betul-betul mereka rasa boleh mewakili di Parlimen dan membantu dalam kawasan.

Kad Laporan menunjukkan bahawa saya selalu turun padang dan membuat kerja, seperti setiap masjid, surau, sekolah serta pelbagai lagi semua saya tolong, tak pernah lepas. Perkara-perkara itu boleh menarik perhatian pengundi atas pagar sekiranya mereka mengikuti perkembangan saya di media sosial, saya tak boleh katakan semua pengundi tahu tentang saya tetapi untuk yang tak tahu itu boleh lihat di media sosial. Tengok apa perubahan saya bawa kepada kawasan Batu.

Saya juga menggesa pengundi untuk periksa setiap calon yang bertanding, sebab saya lihat terlalu ramai calon di Parlimen Batu dan ada beberapa individu bukan berasal dari kawasan ini. Apa manifesto mereka kita kena tahu sebagai pengundi atas pagar.

Apakah pesanan yang ingin diberikan kepada para pengundi menjelang PRU15 ini?
Nasihat saya, kita mahukan satu kestabilan dari segi pentadbiran negara sekiranya kita mahukan perkara itu dan pentadbiran yang bersih, mempunyai kad laporan cantik.

Untuk saya, memang saya akan menasihati rakyat Malaysia untuk memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Ini kerana beliau adalah pemimpin yang sentiasa berada ‘di bawah’ mendengar masalah-masalah rakyat. Bagi saya, tidak salah untuk rakyat beri peluang kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, calon lain semua dah jadi.

——————————————————————————————————————————————————————-

‘Enggan tunduk desakan PKR’

UTUSAN: Sebelum ini terdapat desakan daripada pemimpin-pemimpin PKR supaya menarik diri daripada bertanding di Parlimen Batu sebagai calon bebas.

TIAN CHUA: Rakyat akan membuat keputusan, mereka adalah pengundi dan bukan mana-mana pihak. Saya rasa ini adalah demokrasi, jadi yang patut menentukan segalanya adalah pengundi.

Semasa saya membuat keputusan untuk bertanding atas tiket bebas, saya sudah fikir secara matang mengenai apa perlu saya buat, ini adalah kehendak rakyat. Antara desakan parti dan permintaan rakyat, saya ikut rakyat.

Saya sebenarnya tidak mahu berpanjangan dengan cerita ini, biar pengundi buat keputusan dan sekiranya pengundi memilih orang yang mereka rasa boleh berkhidmat, pilihlah siapa-siapa pun.
Kita tidak boleh menafikan hak pengundi untuk membuat pilihan. Sekiranya P. Prabakaran yakin boleh mendapat sokongan orang ramai, dengan rekod perkhidmatan beliau selama empat tahun ini sudah tentu beliau lebih yakin daripada saya.

Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru, antara parti, bebas dan juga aktivis. Apa kelebihan yang ada berbanding calon-calon lain?

Saya rasa kelebihan atau perbezaan saya dengan calon-calon lain adalah saya sudah berusaha dan berkhidmat di kawasan ini lebih daripada 10 tahun. Saya menjadi Ahli Parlimen Batu selama dua penggal, dan walaupun saya tidak menjadi Ahli Parlimen sebelum ini, saya tetap bersama rakyat.

Saya mengenali masyarakat secara mendalam, saya mempunyai hubungan erat dengan komuniti di kawasan Batu. Bagi saya, ini bukan sahaja aktiviti berpolitik tetapi sebaliknya masyarakat di sini adalah sebahagian daripada hidup saya.

Siapakah dalam kalangan sembilan calon yang jadi pesaing utama?
Saya rasa persaingan utama untuk saya di Parlimen Batu adalah calon daripada Perikatan Nasional (PN), Azhar Yahya dan juga wakil daripada Barisan Nasional, Datuk A. Kohilan Pillay.

Dengan bertanding sebagai calon bebas, apakah yang ingin dibawa kepada masyarakat Batu?

Pertama sekali, kita harus meningkatkan lagi kualiti perumahan terutamanya di flat kos rendah.

Kedua, saya ingin memberi tumpuan kepada menjaga kebajikan golongan yang bependapatan rendah iaitu penghuni utama di kawasan Batu.

Ketiga, penyelesaian infrastruktur yang boleh mencegah banjir dan mengurangkan lagi sampah-sarap di sekitar kawasan perumahan di sini.

Apa strategi untuk menarik pengundi atas pagar? Memandangkan mereka adalah antara faktor penentu kemenangan seseorang calon.

Saya ada beberapa isu tentang pengundi atas pagar, perkara pertama adalah mereka yang muda ini sebenarnya agak berminat dengan topik perubahan iklim dan juga mereka yang bimbang tentang survival planet kita.

Saya akan tegaskan pentingnya harus ada pelan tindakan iklim yang berkesan untuk mencegah ‘mala petaka’ alam sekitar.

Kedua, kita akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda dalam aspek yang boleh menerajui sektor kreativiti, perniagaan mikro, dan mewujudkan peluang pekerjaang yang boleh membantu golongan muda supaya mereka dapat berdikari. Itu antara fokus yang saya akan bawa. – UTUSAN

 

The post appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *