KALAU bercerita mengenai keistimewaan Perak dalam aspek pelancongan, banyak mata tertumpu kepada Taiping, Pulau Pangkor, Ipoh atau mungkin Kuala Kangsar.
Semua daerah ini sememangnya amat dikenali dengan tarikan tersendiri sama ada ada bagi mereka yang mahukan percutian bersama keluarga, aktiviti lasak atau untuk ‘kaki makan’ yang mahu menikmati makanan terbaik.
Namun hakikatnya di daerah Lembah Kinta dan Kampar juga terdapat beberapa lokasi unik untuk tujuan pelancongan.
Salah satunya Gopeng yang mempunyai tempat bersejarah terutama apabila memperkatakan tentang bijih timah.
Malah saya difahamkan nama Gopeng mempunyai beberapa versi asal antaranya dikaitkan dengan nama in­dividu berpengaruh dan terkenal iaitu Goh Peng dari China.
Bagaimanapun, ada versi kedua yang dikatakan diambil bersempena buah pulai yang kebanyakan boleh ditemui dalam bentuk gepeng atau dalam erti kata lain penyek.
Hakikatnya, daerah Kinta dan Kampar yang berkeluasan lebih l,900 kilometer perse­gi ini mempunyai banyak lokasi geotapak yang bo­leh dibangunkan dan diper­kenalkan ke peringkat dunia.
Setakat ini saya difahamkan terdapat 19 lokasi geotapak yang diiktiraf antaranya termasuklah Gua Kandu selain beberapa tempat lain seperti Gua Tempurung.
Semasa kunjungan saya ke Gopeng sebelum ini, ada penduduk tempatan mendakwa gua tersebut dijadikan tempat operasi dan pentadbiran tentera semasa pemerintahan Jepun.
Malah Jepun juga dikatakan mahu menjadikan kawasan berkenaan sebagai landasan dan tempat menyim­pan kapal terbang. Bagaimanapun, apabila negara Matahari Terbit itu menyerah kalah, landasan tersebut tidak dapat disiapkan.
Selain digunakan tentera Jepun, Gua Kandu juga dikatakan turut menjadi tempat operasi komunis pada satu masa dahulu.
Selain Gua Kandu ada Lata Ulu Chepor; Gunung Kanthan; Gunung Lang; Hutan Lipur Ulu Kinta; Gunung Tasek; Mata Air Panas Lubuk Timah; Gua Naga Mas, Air Terjun Sungai Chelik; Jeram Papan; Jeram Sungai Kampar; Air Terjun Sungai Salu; Air Terjun Batu Berangkai; Gunung Korbu dan Gua Matsoorat .
Sebagai rekod, geotapak mempunyai kepentingan dalam aspek geologi, warisan, arkeologi, pemuliharaan, pelancongan, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan.
Di samping, itu saya turut difahamkan rangka tulang harimau purba pernah ditemui di Gua Naga Mas satu masa dahulu.
Ia secara tidak langsung menjadi artifak penting daripada segi arkeologi dan bahan kajian untuk zaman prasejarah.
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, geotapak Lembah Kinta juga memiliki banyak tempat rekreasi yang sesuai untuk penggemar aktiviti lasak seperti kawasan mendaki tebing (rock climbing) di Gunung Lang.
Sementara itu, untuk mereka yang mahukan tempat berkelah dan mandi manda di Lata Ulu Chepor dan Air Terjun Batu Berangkai.
Itu belum lagi tempat bersejarah seperti bandar Kampar sendiri yang terselit kisah pertempuran semasa penjajahan Jepun pada satu ketika dahulu.
Jadi apa yang boleh dikatakan, Lembah Kinta mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan sama ada untuk diketengahkan pada peringkat komersial atau antarabangsa.
Selepas diiktiraf sebagai Geotapak Kebangsaan, tidak mustahil Lembah Kinta dimasukkan dalam peta global menerusi salah satu Tapak Warisan Dunia satu masa nanti seandainya lebih banyak kajian dilakukan. – Mingguan Malaysia 

The post Potensi Lembah Kinta di mata dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *