SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mencari kaedah dan jalan lain lebih berkesan selain pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar bagi membantu rakyat yang terkesan serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan tidak menggunakan wang KWSP itu kerana kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan sangat kecil dan akan memberi kesan kepada masa depan mereka.

Untuk pengetahuan Perdana Menteri, terdapat beberapa pertubuhan yang memperjuangkan nasib pencarum ini termasuk Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) yang mendesak pengeluaran KWSP secara bersasar.

Cadangan itu bukan pengeluaran untuk semua pencarum tetapi bagi beberapa golongan yang dikenal pasti benar-benar memerlukan dan mempunyai baki simpanan mencukupi.

Sebenarnya terlalu ramai pencarum yang sudah amat terhimpit dengan masalah kewangan setelah beberapa bulan atau tahun tiada sumber pendapatan.

Mereka berhadapan tindakan undang-undang serta rumah yang mereka dan keluarga berteduh telah dan akan disita dan dilelong oleh bank serta ramai lagi sudah dan bakal diisytiharkan bankrap.

Sekiranya kerajaan ingin mencari kaedah selain pengeluaran KWSP bersasar, terdapat beberapa cara boleh dipertimbangkan.

Pertama, mereka yang mempunyai tunggakan bayaran dengan mana-mana institusi kewangan disebabkan kehilangan kerja dan tiada punca pendapatan kerana diberhentikan perlu diberi moratorium sehingga umur genap 55 tahun (usia pengeluaran KWSP sepenuhnya dibenarkan) tanpa sebarang faedah dikenakan.

Kedua, semua institusi kewangan yang telah mengeluarkan surat saman melalui peguam perlu menarik balik dan sekiranya rumah atau kenderaan telah disita, perlu dikembalikan kepada pemilik tanpa sebarang kos.

Ketiga, kerajaan perlu memastikan mana-mana pencarum KWSP yang telah dan bakal diisytiharkan muflis dibantu sehinggalah status muflis atau bankrap dibatalkan.

Keempat, mana-mana pencarum yang kehilangan pekerjaan sebelum umur 55 tahun dan masih mampu bekerja, diberi jawatan di mana-mana jabatan kerajaan termasuk di KWSP dengan kadar upah sama dengan gaji terakhir diterima semasa masih bekerja.

Saya yakin masih ada ruang untuk diberi apa-apa jawatan di KWSP sekiranya gaji, elaun, bonus dan lain-lain kemudahan seperti kos kenderaan kakitangan pengurusan peringkat tertinggi KWSP dipotong antara 20 hingga 50 peratus seperti dilakukan menteri.

Seandainya anggota Kabinet pun sanggup berkorban, kenapa tidak mereka? Keprihatinan pegawai KWSP terhadap simpanan hari tua pencarum perlu dibuktikan dengan tindakan.

Kelima, mana-mana pencarum yang diberhentikan kerja dan tidak mampu lagi bekerja disebabkan faktor usia dan masalah kesihatan, kerajaan perlu memberikan pendapatan bulanan sepertimana mereka peroleh semasa bekerja dahulu.

Sekiranya Perdana Menteri merasakan permintaan tersebut amat sukar dilaksanakan seperti syarat untuk meminang Puteri Gunung Ledang, maka kerajaan perlu mengkaji empat usul pengeluaran KWSP bersasar yang telah dicadangkan oleh PGIR.

Sudi-sudikanlah bertemu dengan wakil mereka yang sudah lama menunggu untuk membuat kunjungan hormat. – UTUSAN

ZM SALLEH, Terengganu

The post Potong gaji, elaun pegawai KWSP appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *