“Boleh ke Ayra panggil papa pada cikgu Zak?” Jasmine lupa, sudah kali ke berapa soalan ini diajukan kepadanya.
“Kawan-kawan Ayra semua ada papa. Ayra saja yang tak ada.” Sayu hati Jasmine mendengar rengekan anaknya. Pening kepala memikirkan jawapan untuk membuat Ayra faham yang panggilan papa bukan sewenang-wenang boleh digunakan walaupun pada orang yang kita kenal. Bimbang akan menimbulkan fitnah. Bukan senang untuk memberi penerangan kepada anak istimewa seperti Ayra. Tapi Ayra mengambil keputusannya sendiri setelah bosan menunggu jawapan.
“Cikgu Zak dah setuju pun!” Ayra memaklumkan persetujuan cikgu Zakiuddin dengan senyuman melerek. Tapi bagaimana dengan keputusan ibu. Lagi pening kepala memikirkannya.
Jasmine melangkah perlahan menuju ke tengah-tengah dewan. Masalah panggilan ‘papa’ itu diketepikan buat seketika. Pandangannya menyelinap ke arah kiri dan kanannya. Banyak lukisan digantung menghiasi dinding dewan. Kebanyakan lukisan memaparkan keindahan alam. Paparan kejernihan air sungai dan kebiruan air laut, menyejukkan mata memandang. Di belakang dewan pula menempatkan hasil kerja tangan para pelajar seperti buku skrap bergambar, gubahan bunga dan yang paling menarik origami dalam pelbagai bentuk. Ada origami untuk kegunaan seperti pemegang tisu dan dompet.
Jasmine menarik nafas lega dan tersenyum. Bersyukur kerana dapat mencurahkan bakti mengajar seni origami. Dia pernah menghadiri kursus origami yang diadakan oleh isteri diplomat dari Jepun. Tidak ramai mengetahui manfaat seni origami dalam merangsang dan meningkatkan kemahiran motor serta pelbagai sensori seseorang.
“Alhamdulillah Jas sudah boleh senyum. Semua dah okay kan?” Satu suara garau mengejutkan lamunan Jasmine. “Terkejut saya. Harapnya begitulah. Terima kasih Zak kerana banyak membantu. Alhamdulillah, saya diberi peluang kali ini untuk bekerjasama dengan Zak serta semua ahli jawatankuasa persatuan.” Jasmine mendongak sambil melemparkan senyuman kepada guru pendidikan seni yang juga Setiausaha Persatuan Sindrom Down peringkat negeri.
Cikgu Zakiuddin orang pertama menyedari tentang kebolehan luar biasa Ayra dalam bidang seni lukis. Sememangnya ada segelintir insan Sindrom Down memiliki kebolehan luar biasa. Ada yang boleh menulis puisi atau cerpen mahupun novel. Ayra juga mengikuti kelas lukisan hujung minggu cikgu Zakiuddin sejak berusia 9 tahun. Beliau seorang pelukis terkenal, sering mengadakan pameran lukisannya di galeri-galeri di seluruh negara.
“Jas dah tengokkan lukisan terbaru Ayra? Yang ini maksud saya.” Jari telunjuk cikgu Zakiuddin dituding ke arah potret memaparkan wajah wanita berkaca mata.
“Sudah. Zak tak tahukan, Ayra mengamuk juga hari itu. Dia cakap dia tak reti lukis potret tapi nak lukis juga untuk hadiahkan pada hari jadi ibu. Bila dah siap lukis, ibu nampak hodoh katanya,” Jasmine bersuara perlahan mengingatkan bagaimana sukar untuk meredakan amukan anaknya masa itu.
“Dia sedih kerana cikgu Zak tak nak tolong baiki lukisannya untuk jadikan ibu nampak cantik.” Sambung Jasmine melepaskan pandangan pada cikgu Zakiuddin sambil tersenyum.
“Oh! Begitu pula jadinya. Maaf Jas, saya hanya nak mengajar Ayra supaya sentiasa berpuas hati dengan karya yang dia hasilkan. Kadang-kadang saya terlupa yang Ayra tidak serupa dengan kanak-kanak lain,” cikgu Zakiuddin menyuarakan kekesalannya.
“Tapi seingat saya Jas, saya dah beritahu Ayra yang potret itu, senyuman ibunya nampak macam Mona Lisa. Dah cukup cantik, jadi tak perlu dibaiki lagi.” Sambung cikgu Zakiuddin melemparkan senyuman pada Jasmine yang tergamam dengan penjelasannya.Matanya melekat pada wajah yang kerap datang dalam lenanya akhir-akhir ini. Sudah hampir empat tahun dia mengenali Jasmine seorang wanita bersemangat waja. Membesarkan anak istimewa tanpa suami di sisi. Jasmine sanggup berbuat apa saja untuk menentukan Ayra membesar seperti kanak-kanak normal yang lain.
“Tak apa Zak, Ayra pun dah tak ingat pasal tu. Bila kawan-kawan dia puji lukisannya cantik, dia seronok. Tambahan pula kawan baiknya, Ranjini cakap potret ibu nampak macam artis.” Jasmine ketawa mengekek.
“Memang ya pun. Ibu Ayra memang cantik. Beruntung saya, orang cantik itu berada di sebelah saya.” Cikgu Zakiuddin memuji.
“Ada perkara yang saya nak bincang tentang panggilan ‘papa’ yang Ayra beri pada awak. Rasanya ia tidak sesuai.” Jasmine mengubah topik perbincangan. Terasa mukanya panas membara kesan dari darah mengalir laju ke kapilari di bahagian muka apabila menerima pujian dari cikgu Zakiuddin. Entah mengapa hati Jasmine kerap berdegup kencang akhir-akhir ini dengan kehadirannya.
“Sejujurnya memang saya sudah lama mengidamkan panggilan papa dari Ayra.” Bisik cikgu Zakiuddin membuatkan Jasmine ragu-ragu dengan apa yang didengarinya. “Ibu! Ibu!” panggilan nyaring anaknya mengejutkan mereka berdua yang seolah-olah sedang berada di dalam babak sinetron. Ayra menerpa ke arah Jasmine dan memeluk erat pinggang ibunya. Dua rakannya berdiri memerhatikan gelagat Ayra dan nampak malu-malu kecuali Ranjini yang juga datang memeluk ibunya.
Jasmine memeluk seorang demi seorang anak syurga di hadapannya. Rupa mereka semua seiras. Sememangnya mereka adalah anak-anak istimewa, anak-anak Sindrom Down yang dianugerahkan dengan ciri-ciri fizikal sama seperti mata berbentuk badam dan miring, hidung kemek, kepala yang lebih kecil dan diratakan di belakang, wajah yang agak bulat, leher pendek dengan kulit tambahan di tengkuk. Yang membezakan antara Ayra dengan rakan-rakan lain adalah kaca mata yang dipakainya.
“Anak Puan Jasmine mempunyai masalah katarak kongenital dan perlukan pembedahan,” Beritahu seorang doktor pakar mata semasa membuat pengesahan. Pada umur Ayra baru empat bulan, satu pembedahan dilakukan untuk membuang katarak. Ayra terpaksa memakai kaca mata sepanjang hayat. Walaupun pada awalnya dia sentiasa menanggalkan kaca mata tetapi apabila usia semakin meningkat Ayra semakin seronok berkaca mata.
“Ayra cantik macam ibukan bila pakai kaca mata?” Soalan yang sama diulang-ulang untuk mendapat kepastian.
“Anak ibu memang cantik. Bukan saja cantik tapi pandai pula. Ibu bangga dengan Ayra.” Jasmine memuji anaknya yang sentiasa perlukan pujian sama ada dari segi paras rupa, penampilan dan pencapaian dalam apa saja aktiviti yang dia sertai.
Penting untuk Ayra berada dalam suasana ceria dan dihargai. Jika dalam keadaan gembira, kebiasaannya dia menjadi lebih produktif dalam berkarya. Jasmine sedari dulu bertekad berbuat apa saja untuk mengembangkan bakat Ayra, satu-satunya zuriat dengan suaminya, Bakri.
Masih jelas dalam ingatannya, detik-detik Ayra dilahirkan 11 tahun dahulu.
“Tahniah puan. Anak perempuan,” bisik seorang doktor wanita. Dalam keadaan masih lemah, Jasmine tidak putus-putus mengucapkan syukur. Kegembiraan dan keterujaan Jasmine hanya seketika. Alam yang penuh indah itu bertukar mendung tiba-tiba. Debar hatinya mula mengencang. Matanya mula meneliti raut wajah bayi di pangkuan. Kerisauan mengetuk pintu hatinya. Ada sesuatu yang tidak kena pada puterinya itu.
“Maafkan saya. Saya terpaksa memberitahu perkara sebenar,” Dr. Syakir memulakan bicara.
“Anak tuan Bakri dan puan Jasmine mengidap Sindrom Down.” Sambung Dr Syakir.
Dunia tiba-tiba gelap. Jantungnya seolah berhenti berdegup. Mimpi ngeri yang menjadi igauan sejak pertama kali wajah anaknya ditatap menjadi kenyataan. Suara hentakan kuat pada meja dan suara lantang seperti halilintar mengejutkan Jasmine.
“Doktor jangan main-main. Tidak ada sesiapa dalam keturunan saya cacat! Doktor jangan buat fitnah!” Bakri dengan muka merah padam mula mengatur langkah keluar dari bilik Dr. Syakir. Anak yang dipangku menangis. Mungkin terkejut dengan hentakan kuat dan pekikan suaminya. Tangisan Ayra semakin menjadi.
“Abang jangan macam ni. Anak kita ini rezeki dari Allah. Tolong bawa bertenang.” Jasmine merayu. Bakri menarik nafas dalam-dalam. Rasa bersalah membelit diri. Berulang kali dia beristighfar.
“Sayang takut ke? Maafkan papa sayang,” Bakri sedikit teragak mencium pipi anaknya. “Maafkan abang Jas. Abang sedih sangat memikirkan masa depan anak kita,” Sambung Bakri sebak.
“Walau apa pun, abang tetap sayangkan Jas dan anak kita. Percayalah sayang.” Satu kucupan singgah di dahi Jasmine. Memori indah yang disimpan dari dulu hingga kini. Pilu hati apabila seseorang disayangi pergi bertemu Pencipta tanpa diduga. Dalam keadaan galau, suaminya hilang fokus, kereta yang dipandu bertembung dengan lori. Berminggu-minggu Jasmine membiarkan dirinya dalam dakapan kemurungan dan bertemankan air mata.
Dari semasa ke semasa, rengekan dan tangisan anak syurga yang mendambakan kasih sayang seorang ibu mengubah segalanya. Kehangatan badan si kecil dalam pelukan mula menghangatkan dunianya yang dingin dan sunyi. Juga dengan bantuan seluruh keluarga dan sahabat yang memberi semangat, dia diberi kekuatan bangkit dari mimpi kelam. Kuasa dan ketentuan Allah tidak dapat dijangka. Tiada yang tidak mungkin jika Allah berkehendak. Kun Fayakun. Segala rasa marah, kecewa, sedih dan negatif diketepikan. Seorang anak Sindrom Down perlu berasa selamat, disayangi, diterima keluarga dan persekitaran tenang untuk membantu tumbesaran mereka.
Jasmine melangkah ke pentas penuh yakin. Dia tidak akan sia-siakan peluang yang diberi untuk berkongsi pengalaman membesarkan seorang anak Sindrom Down yang dianugerahkan bakat luar biasa dalam seni lukis.
“Bagi saya menempatkan Ayra di sekolah arus perdana selepas tiga tahun di Pusat Anak Istimewa adalah pilihan terbaik. Di sekolah, Ayra dapat bergaul dengan kanak-kanak normal lain. Paling penting dia dapat belajar menyesuaikan diri, berdikari dan tidak kekok belajar.” Jasmine melontarkan bicara.
Kelihatan Ayra duduk di hadapan di sebelah cikgu Zakiuddin. Jasmine tersenyum melihat gelagat anaknya memberi isyarat tangan, menunjuk-nunjuk ke arah cikgu Zakiuddin.
“Ucapan terima kasih khas kepada cikgu Zakiuddin yang mengasah bakat Ayra dengan tekun dan sabar. Harapan saya semoga aliran air sungai, deburan ombak dan deruan angin dapat kita rasakan dengan hanya menatap coretan warna pada lukisan.”
Dalam silau lampu spot yang dipancar dari depan pentas utama, Jasmine nampak kelibat Ayra sedang memijak anak tangga pentas.
“Selamat hari jadi ibu. Potret ini hadiah Ayra. Bunga ini dari papa Zak,” lantang suara anaknya mengisi ruang dewan yang sunyi seketika.
“Ayra sayang ibu. Papa Zak pun sayang ibu.” Bisik Ayra. Pandangan Jasmine mula semakin kabur. Tangannya menggenggam sekuntum mawar merah. Matanya pedih dan perit. Air jernih mengalir laju membasahi pipi. Tapi masih jelas kelihatan di bawah potretnya, tersusun cantik aksara, POTRET SYURGA. – MINGGUAN MALAYSIA

The post Potret syurga appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *