PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) menubuhkan tiga pasukan petugas khas bagi memantau insiden banjir kilat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan akhir-akhir ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporatnya, Norzita Abdul Razak berkata, pasukan itu terdiri daripada kakitangan PPj dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Beliau berkata, pasukan itu akan bergerak serta-merta ke lokasi hotspot ketika hujan bagi memantau keadaan dan mengelak kejadian berulang.

“Pada masa sama, kami juga akan sentiasa memastikan kolam tadahan di Presint 8 dan Presint 11 diselenggara dengan baik.

“Kami berharap penduduk setempat segera memberi maklumat berkaitan air bertakung supaya tindakan lanjut diambil,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas insiden banjir kilat di beberapa lokasi petang semalam, Norzita berkata, taburan hujan semalam adalah lima kali ganda daripada biasa turut disertai angin kuat sekali gus membawa bersama daun-daun yang bertaburan di atas jalan dan menutup penutup longkang.

“Ia kemudian menyekat laluan air daripada mengalir ke dalam longkang di beberapa kawasan rendah sekitar Putrajaya.

“Antara lokasi terjejas adalah Jalan Kenari P9/1, Presint 9, Jalan P11A1, Presint 11, Dataran Rakyat, Presint 4 serta terowong di antara Presint 9 & Presint 11,” katanya.

Katanya, PPj bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk turut membersihkan daun-daun yang tersangkut di atas penutup longkang bagi melancarkan aliran itu.

Jelasnya lagi, PPj juga akan memantau semua sistem perparitan di Putrajaya bagi memastikan ia berfungsi dengan lain dan tidak tersumbat. – UTUSAN

The post PPj tubuh 3 pasukan pantau banjir kilat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *