KUALA LUMPUR: Calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran tidak boleh dibeli oleh mana-mana pihak.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Prabakaran sentiasa memaklumkan kepadanya tentang pihak-pihak yang cuba menyogok dengan duit, pangkat dan sebagainya namun semuanya ditolak oleh beliau.

Menurutnya, sikap Prabakaran yang menolak tawaran-tawaran tersebut sama seperti watak di dalam sebuah filem tamil berjudul Sivaji: The Boss yang dilakonkan oleh Rajinikanth di mana sama-sama membenci kegiatan rasuah.

“Dulu semasa ramai orang menjadi pengkhianat, berapa ramai yang cari Prabakaran. Mereka nak bagi dia duit dan jawatan tetapi saya katakan pada beliau untuk pergi lalu kemudian lapor pada saya.

“Ini baru Sivaji punya anak, beliau tidak boleh dibeli sebab itu saya kata Prabakaran perlu bertanding di Parlimen Batu,” katanya semasa berucap di Himpunan Mega Harapan Batu di Taman Dato Senu.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk S. Rajah membuat laporan polis terhadap dakwaan Prabakaran ditawar RM10 juta untuk menyertai parti komponen Barisan Nasional itu.

Ini susulan daripada dakwaan yang dibuat Prabakaran semasa sesi ceramahnya, iaitu beliau sebelum ini sering menerima pelbagai tawaran untuk berpaling tadah daripada PH.

Mengulas lanjut, Anwar turut percaya akan kebolehan Prabakaran yang akan memenangi kerusi Parlimen Batu sekali lagi walaupun berdepan dengan 10 penjuru.

“Prabakaran bukan saja boleh menang di sini tetapi akan mendapat majoriti besar. Orang Batu ada jasa sekiranya saya boleh mengangkat sumpah esok sebagai Perdana Menteri, salah satu sebabnya adalah warga Batu sumbang kerusi,” katanya. – UTUSAN

The post Prabakaran seperti Sivaji: The Boss, benci kegiatan rasuah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *