NEW YORK: Bandar New York City membuka dispensari ganja pertama yang diluluskan oleh undang-undang di bandar itu Khamis lalu.

Lapor Daily Mail, Housing Works Cannabis Co. di hilir Manhattan menjual pesanan pertama ganja secara sah di negeri itu sejak dadah rekreasi dibenarkan untuk dijual kepada penduduk berumur 21 tahun ke atas dua tahun lalu.

Penjualan ganja yang sah di seluruh negeri dianggarkan mampu meraih sekitar AS$1.3 bilion, dan negeri itu menawarkan 150 lesen pertama untuk penjualan sah kepada individu dan keluarga mereka yang sebelum ini disabitkan bersalah mengedar atau menjual dadah.

“Hari ini menandakan peristiwa penting dalam usaha kami mewujudkan industri ganja yang paling saksama di negara ini,” kata Datuk Bandar New York City, Eric Adams.

Dispensari baharu itu dikendalikan oleh badan bukan berasaskan keuntungan yang merupakan sebuah agensi perkhidmatan sosial minoriti bagi membantu pesakit AIDS dan HIV termasuk mereka yang pernah dipenjarakan atau kehilangan tempat tinggal.

Badan itu menerima kira-kira 2,000 tempahan untuk membuat pembelian dengan barisan panjang di luar premis.

Ketua Pegawai Eksekutif Housing Works, Charles King berkata, organisasi itu mengupah pekerja dalam kalangan mereka yang pernah ditahan kerana pengambilan ganja.

“Kami berusaha mendapatkan lesen kerana mahu mendapatkan peluang memperbaiki beberapa keadaan buruk akibat jenayah ganja serta dadah lain,” katanya.

The post Premis jual ganja secara sah di New York City appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *