SANTOS, Brazil: Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mempertahankan dirinya selepas dikritik hebat ekoran berswafoto di sebelah keranda Pele semasa pengebumian legenda Brazil itu semalam.

Infantino ke Brazil bagi memberi penghormatan kepada Pele, yang meninggal dunia, Khamis lalu pada usia 82 tahun berikutan penyakit kanser usus besar.

Tindakan Infantino mencetus kemarahan warga maya selepas dilihat berswafoto dengan beberapa rakan dan keluarga Pele hanya beberapa meter dari keranda yang terbuka.

Dalam kenyataan panjang lebar di media sosial, Infantino mendakwa dia hanya membantu beberapa rakan Pele yang ‘tidak tahu’ cara mengambil swafoto.

“Saya baru mendarat di Brazil, di mana saya diberi ­ke­istimewaan mengambil bahagian dalam penghormatan indah Pele yang berlangsung di Vila Belmiro, Santos.

“Saya kecewa selepas dimaklumkan saya dikecam kerana mengambil swafoto dan gambar pada majlis pengebumian itu.

“Saya ingin menjelaskan, saya berbesar hati dan merasa rendah diri kerana rakan sepa­sukan serta ahli keluarga Pele telah bertanya kepada saya jika saya boleh mengambil beberapa gambar dengan mereka.

“Dan jelas sekali, saya bersetuju. Dalam kes swafoto itu, rakan sepasukan Pele meminta untuk berswafoto bersama tetapi mereka tidak tahu melakukannya. Jadi, untuk membantu, saya ambil telefon salah seorang daripada mereka dan mengambil gambar kami.

“Jika membantu rakan sepa­sukan Pele itu menimbulkan kritikan, saya gembira mene­rimanya dan akan terus membantu mereka yang telah me­nyumbang kepada bola sepak.

“Saya sangat menghormati dan mengagumi Pele. Saya tidak melakukan apa-apa yang tidak menghormati acara dalam apa cara sekali pun. Harap pihak yang berkata tanpa mengetahui hal sebenar tampil mengaku salah,” katanya. – AGENSI

The post Presiden FIFA dikritik angkara swafoto di keranda Pele appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *