KLUANG: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu membuktikan bahawa negeri ini kembali menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) apabila berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, PRN itu juga membuktikan bahawa rakyat di negeri ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mentadbir. 

Menurut beliau, sumbangan besar kerajaan negeri menjadi sebuah kerajaan progresif dan maju bukan hanya mengembalikan semula Johor sebagai kubu kuat, malah turut menampilkan barisan pemimpin muda sebagai pentadbir. 

“Ia memberikan gambaran barisan pentabir ini akan mentadbir negeri untuk tempoh bukan hanya satu atau dua penggal, malah lebih untuk orang muda ini membangunkan negeri dan menyumbang kepada negara khususnya,” katanya.

Beliau yang juga calon BN di Parlimen Simpang Renggam berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Parit Salman di Simpang Renggam hari ini. 

Mengulas kenyataan Pengerusi DAP Johor,  Liew Chin Tong yang menyatakan peratusan keluar mengundi sehingga 70 peratus akan memberikan kemenangan kepada parti itu di negeri ini, Hasni berkata, BN tidak bermula dengan kosong dan sudah menang dalam PRN baru-baru ini selain mempunyai pengundi tegar.

“Yakin bahawa parti yang bertanding ini akan memastikan pengundi mereka keluar mengundi, namun daripada keputusan PRN lalu memberikan gambaran bahawa penyokong BN yang paling ramai. 

“Jadi, saya rasa jika ramai yang keluar mengundi, mereka adalah pengundi tegar BN,” katanya.- UTUSAN

The post PRN bukti Johor kembali jadi kubu kuat BN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *