SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk Negeri Sembilan mungkin diadakan selepas pertengahan tahun ini apabila tamat tempoh mandat yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Ismail Ahmad berkata, beliau membuat kesimpulan itu kerana rakyat baru saja selesai melalui proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, pada masa sama, tempoh berbaki kira-kira enam bulan ini boleh dimanfaatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini memenuhi beberapa janji yang belum ditunaikan selepas PRU14.

“Kami faham bahawa rakyat sudah letih untuk mengharungi lagi pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) jika hendak diadakan sekarang.

“Pada masa sama kita juga mesti beri peluang kepada kerajaan Pusat yang baharu mula bekerja untuk rakyat. Jadi saya tidak fikir PRN akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena kempen Jom Bayar Cukai Tanah 2023 anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Seremban (PDTS) di sini hari ini.

Untuk rekod, PH yang menjadi kerajaan negeri ini selepas PRU14 membuat keputusan tidak mengadakan PRN secara serentak semasa PRU15 tempohari.

Ismail yang juga merupakan ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan menarik perhatian, dalam tempoh kira-kira empat tahun lalu, PH telah melakukan yang terbaik untuk memerintah termasuk mencatatkan jumlah pelaburan kira-kira RM30 bilion sepanjang tempoh itu.

jelasnya, pakatan itu juga telah mencapai tahap 95 peratus menunaikan janji selepas pilihan raya umum lalu.

“Hanya ada satu atau dua perkara yang belum tertunai dan kami harap tempoh kira-kira enam bulan ini digunakan sebaik-baiknya untuk memenuhi janji PH,” ujarnya.

Ditanya mengenai perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi parti gabungan dengan PH bagi membentuk kerajaan Pusat, Ismail memberitahu, beliau percaya rundingan akan dilakukan dengan BN tetapi belum ada sebarang tarikh ditetapkan.

“Biarlah ketua masing-masing di peringkat pusat berunding dan membuat keputusan,” ujarnya.

Pada masa ini, ahli-ahli DUN negeri ini terdiri daripada 20 orang dari PH dan 16 dari BN.-UTUSAN.

 

The post PRN Negeri Sembilan dijangka selepas pertengahan tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *