KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Pejuang belum mengemukakan permohonan untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini parti itu kekal di bawah PH untuk mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN.
“Pertemuan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini memutuskan supaya PH dan BN fokus kepada perbincangan lanjut tanpa membabitkan kerjasama baharu daripada mana-mana gabungan atau parti lain.
“Menerusi pengalaman saya, kita akan menunggu Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mungkin mahu meminta mengadakan pertemuan rasmi.
“Selepas itu, PH boleh membuat keputusan atau PH perlu bincangkan dengan BN. Baru kita akan nyatakan sikap kita terhadap permohonan Pejuang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Produk Rahmah di KK Super Mart Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Mukhriz berminat untuk membentuk kerjasama bersama PH bagi menghadapi PRN akan datang.
Bagaimanapun, mengulas dakwaan Mahfuz, Salahuddin berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa sesi tersebut adalah perbincangan biasa dengan kedua-dua pihak maklum mengenai prosedur pembentukan kerjasama.
“Setakat dimaklumkan oleh Mahfuz, ia adalah pertemuan dan perbincangan biasa. Kedua-dua pihak faham mengenai keperluan untuk mengambil saluran biasa,” ujarnya.- UTUSAN
The post PRN: Pejuang belum mohon sertai sertai gabungan PH appeared first on Utusan Malaysia.