SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, setakat ini masih belum ada pertemuan antara beliau dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan soal tersebut.

Namun begitu, menurut beliau, sebarang penyelesaian mengenai kerjasama berkenaan hanya akan diputuskan pucuk pimpinan parti masing-masing dengan di peringkat PH, ia akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH.

“Di peringkat negeri, kami tiada ada kuasa untuk menentukan hala tujunya, ia aka diputuskan oleh Majlis Presiden PH. Nampak akan berbincang mengenai perkara tersebut dan saya berharap ia dimuktamadkan hujung bulan ini.

“Bagi saya tiada masalah untuk bekerjasama (dengan BN) jika itu arahan, kami akan ikut. Saya belum berjumpa dengan Tok Mat (Mohamad), ada berjumpa beliau secara tidak rasmi seperti di Parlime dan majlis-majlis, tetapi (rundingan kerjasama) tidak boleh berjumpa tidak rasmi, mesti diputuskan di peringkat kepemimpinan,” katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bagi Mangsa Banjir Pantai Timur di sini hari ini.

Ketika ditanya terdapat dakwaan berlaku kesukaran untuk mengadakan rundingan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR menjelaskan, itu hanya pandangan sesetengah pihak sahaja.

“Itu pandangan mereka sahaja, mungkin pada zaman mereka, itu yang berlaku, kita tidak tahu. Tetapi dalam keadaan sekarang apa juga keputusan itu harus diraikan.

“Keputusan Majlis Presiden itu nanti adalah penting, jika tiada (kerjasama) kami juga akur, saya rasa penyokong  di peringkat akar umbi juga akan terima, pastinya mereka akan ikut apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan. Itu di peringkat PH, di pihak BN saya tidak tahu,” katanya lagi.

Semalam Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tidak berlaku sebarang kesukaran dalam soal rundingan kerjasama di antara PH dan BN bagi menghadapi PRN akan datang.

Beliau menjelaskan, hanya masa yang tepat sangat penting untuk parti membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Enam buah negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.-UTUSAN.

 

The post PRN: PH Negeri Sembilan tiada masalah kerjasama dengan BN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *