SHAH ALAM: PKR meletakkan keyakinan untuk terus menguasai Kerajaan Negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 40 berbanding 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, melalui kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN di negeri itu juga dipercayai membolehkan gabungan tersebut mendapat 53 kerusi berdasarkan statistik pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meletakkan unjuran demikian dengan mengambil kira gerak kerja jentera yang perlu dilakukan berdasarkan penilaian terhadap kategori kerusi pasti menang, berisiko kalah dan kawasan perlukan usaha lebih.

Menurutnya, walaupun pertandingan tiga penjuru dihadapi pada PRU15, PH disifatkan berterusan mempunyai kekuatan apabila meraih undi pada 40 kawasan DUN ketika pertandingan peringkat Parlimen pada pilihan raya tersebut.

“Selangor penyumbang terbesar kerusi Parlimen di peringkat Persekutuan pada PRU15. Kita berjaya menumbangkan nama-nama besar seperti saya sendiri bertembung dengan Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Selain itu, kita bertembung dengan menteri paling popular daripada BN, Khairy Jamaludin Abu Bakar di Sungai Buloh serta kekalahan seorang lagi anggota kabinet, Datuk Zuraida Kamaruddin di Ampang.

“Kita ada kerusi boleh menang, yang berisiko berdepan kekalahan dan kerusi perlukan usaha lebih. Namun, semua itu harus diberikan tumpuan oleh keseluruhan pimpinan baik Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahupun Wanita PKR,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PKR Selangor 2023, hari ini.

Malah, beliau juga yang merupakan Naib Presiden PKR menyatakan langsung tidak menjangka PH khususnya PKR akan mencatatkan kemenangan dalam PRU15 berdasarkan pencapaian pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) terdahulu dan PRN Johor.

Justeru, beliau membayangkan PKR kehilangan lebih banyak kerusi pada November lalu.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar negeri ini mengingatkan PKR perlu mengekalkan penguasaan Selangor apabila menyifatkan Perikatan Nasional (PN) begitu terdesak untuk menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Lawan kita PN berada dalam keadaan sangat terdesak sebab mereka tidak mempunyai launching-pad yang kukuh. Launching-pad (mereka) berada di pantai timur semenanjung.

“Kalau kukuh (PN di Selangor), saya rasa serangan mereka akan bertambah ganas dan serangan semakin keras terhadap persekutuan, kerana ada ‘najis-najis’ lama.

“Saya percaya, ini adalah battle seterusnya bukan di Kelantan, Terengganu, tetapi juga di Pulau Pinang. Mereka hendak cuba di sini kerana Selangor adalah negeri yang kuat, mempunyai kedudukan kewangan yang besar, dekat dengan Kuala Lumpur dan jadi tempat mereka mula menyerang kerajaan persekutuan. Mereka desperate,” tegasnya.

Tambahnya lagi, pimpinan dan akar umbi PKR perlu berjaga-jaga dan bekerja keras mendapatkan formula dan memberikan penerangan terbaik kerana Selangor menjadi penanda aras untuk PN menawar Putrajaya. – UTUSAN

The post PRN: PKR yakin terus kuasai Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *