KULIM: Program Keusahawanan Wanita (Woman Biz Entrepreneurship) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) mampu mengubah taraf kehidupan wanita luar bandar yang minat dalam bidang tersebut.

Program yang bermula sejak Februari tahun ini dengan kos bantuan sebanyak RM500,000 itu sudah memberi impak besar kepada peserta yang terpilih terutama dalam bidang keusahawanan kecantikan dan penjagaan diri kaum hawa itu.

Pengurus Besar Keda, Datuk Kamarudin Abd. Akib berkata, program ini memberi peluang kepada kelompok wanita di luar bandar yang menunjukkan kecenderungan, minat dan kesungguhan untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan.

Katanya, program keusahawanan wanita itu memilih empat kelompok peserta melalui pemilihan kertas cadangan yang dihantar kepada Keda sambil dibimbing oleh penasihat yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

“Objektif pelaksanaannya adalah meningkatkan taraf ekonomi setempat melalui platform keusahawanan kepada wanita dan menyediakan pengetahuan serta teknik pemasaran yang terkini kepada kelompok usahawan wanita.

“Malah, ia turut memperkasa industri produk luar bandar yang berpotensi untuk diketengahkan kepada pasaran yang lebih luas melalui penyertaan golongan wanita,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian premis Lestari Beauty & Spa Desa Aman, di sini.

Menurut Kamarudin, ia turut merangkumi program bantuan secara berkelompok dalam membantu golongan sasar menguruskan sesebuah organisasi perniagaan secara sistematik dan seterusnya membentuk menjadi pemilik perniagaan yang berdaya saing.

Jelasnya, setiap kelompok wanita akan diberi bantuan bernilai RM200,000 bagi memulakan perniagaan pilihan atau mengembangkan perniagaan sedia ada yang meliputi bantuan mesin dan peralatan, naik taraf premis serta kursus dan promosi.

Ujarnya, untuk sesi kali ini, seramai empat peserta dipilih melalui beberapa tapisan temu duga dan ujian praktikal yang terdiri daripada wanita yang mempunyai sijil kemahiran dalam bidang kecantikan. 

“Semua peserta yang terpilih dikumpulkan untuk membentuk satu syarikat secara berkelompok iaitu Syarikat Lestari Beauty & Spa sebagai salah satu perunding yang bersama-sama dalam program ini setelah melihat kejayaan mereka membimbing tiga peserta individu bagi Program Mentor Mentee KEDA pada 2021.

“Mereka berjaya menunjukkan keputusan positif sejak mula beroperasi pada Julai lalu dan  untuk rekod, jualan bulanan kedai telah melebihi RM11,000 yang berjaya membantu meningkatkan pendapatan peserta sehingga 30 peratus berbanding sebelum ini,” katanya. –UTUSAN

The post Program Keusahawanan Wanita Keda ubah taraf hidup wanita appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *