GEORGE TOWN: Program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 yang dilaksanakan kerajaan negeri telah mengikut proses undang-undang sedia ada.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, program publisiti dan penyertaan awam itu telah dilanjutkan proses masanya iaitu lebih sebulan dari yang ditetapkan undang-undang.

“Proses ini (program publisiti dan penyertaan awam) mengikut undang-undang, sudah diberi lanjutan pun.

“Sebenarnya dalam akta cuma satu tempoh diperlukan dan tempoh itu pun dah dilanjutkan lebih satu bulan, malah sudah capai dua bulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang mempersoal ketelusan kerajaan negeri dalam melaksanakan program publisiti dan penyertaan awam itu yang disifatkan dibuat di lokasi dan masa yang tidak sesuai.

Terdahulu dalam sidang akhbar sama, Kon Yeow memaklumkan mengenai Karnival LovePenang yang akan diadakan pada 7 Januari 2023, di Padang Kota Lama, di sini.

Menurut Kon Yeow, tempoh semakan yang dilanjutkan itu memberi ruang seluas-luasanya untuk pelbagai pihak memberi maklum balas berhubung draf berkenaan.

”Kita percaya dengan tambahan masa ini semua pemegang taruh yang berminat boleh mendapatkan maklumat berkaitan draf ini.

”Tambahan pula, ia boleh diakses secara dalam talian, jadi kita menjemput semua pemegang taruh memberi komen-komen mereka terhadap draf ini sebelum dokumen Rancangan Tempatan dimuktamadkan,” katanya.

Tambahnya, selepas itu, ia akan disusuli dengan penghantaran notis makluman kepada pihak berkaitan yang telah mengemukakan cadangan serta bersetuju untuk hadir ke sesi pendengaran awam yang akan dikendalikan oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

”Melalui sesi pendengaran awam, para pemegang taruh dapat bersemuka dengan panel terlibat bagi mengemukakan pandangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

The post Program publisiti, penyertaan awam draf ikut proses undang-undang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *