KLUANG: Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) antara Gemas-Johor Bahru berjalan lancar dan mencapai 85 peratus siap.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Menurutnya, KTM sedang menunggu sebuah depot yang sedang dibuat di Kempas untuk siap dan memerlukan sedikit masa.

“Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan dan akan bergerak selaju 140 kilometer sejam dengan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Stesen KTM Kluang, di sini hari ini.

Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata, sebelum ini timbul isu melibatkan sebuah kuil di sini yang berdepan tindakan dirobohkan kerana kawasan itu termasuk dalam projek pembinaan landasan berkembar telah diselesaikan dengan baik.

“Kita sentiasa menghormati sensitiviti kaum dan agama. Atas dasar itu, saya telah mengarahkan pihak yang berkaitan untuk tidak merobohkan mana-mana bahagian kuil tersebut walaupun pagarnya.

“Semua bersetuju bahawa masalah ini ditangani dengan harmoni dan saya beri jaminan perkara ini dapat dilakukan dengan baik,” katanya.

Ditanya dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengesahkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan bergabung membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ka Siong menegaskan BN belum pernah bersemuka dengan pemimpin daripada PN.

“Soal ini tidak timbul kerana tidak pernah ada perbincangan, saya selaku Naib Pengerusi BN pun tidak mengetahui perkara itu dan tidak pasti dari mana datangnya maklumat sebegini,” katanya.

Dalam satu Ceramah Perdana PRU15 di Kampung Kubang Kiat, Kota Bharu, Kelantan, semalam Takiyuddin menyatakan keyakinan PN dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutamanya BN.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15. – UTUSAN

The post Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB 85 peratus siap appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *