PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjelaskan, Projek Naik Taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan diluluskan sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

KASA menerusi kenyataan memaklumkan, projek tersebut diluluskan pada November 2020 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2021 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

Menurutnya, proses perolehan projek ini bermula sejak 6 Oktober lalu sedangkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.

“KASA sangat berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh kerajaan sementara ini. 

“Justeru itu, kenyataan yang tular adalah tidak berbangkit sama sekali kerana tiada sebarang ikatan kontrak dijalin antara kerajaan dengan syarikat dalam tempoh ini,” katanya.

KASA menegaskan bahawa surat yang didakwa kononnya dikeluarkan Kementerian Kewangan tersebut perlulah disiasat terlebih dahulu oleh pihak berkuasa.

Jelasnya lagi, ia perlu disiasat dari segi ketepatan fakta dan keteraturannya dan bukannya dengan cara mendedahkan kepada rakyat secara umum bagi tujuan mewujudkan persepsi tidak baik kepada kementerian.

Menurut Kasa lagi, kenyataan pihak yang mendakwa bahawa pihak kerajaan meluluskan projek selepas pembubaran Parlimen adalah satu tohmahan yang tidak berasas sama sekali. 

Oleh itu, katanya, KASA sekali lagi menegaskan bahawa perkara ini perlu dibuktikan kebenarannya melalui siasatan oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan projek naik taraf loji bernilai RM285 juta itu diluluskan KASA kepada sebuah syarikat selepas Parlimen dibubarkan.

Rafizi juga sebelum ini menuntut penjelasan daripada Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan. – UTUSAN

The post Projek naik taraf loji Klang Selatan dilulus sebelum Parlimen bubar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *