SHAH ALAM: Kerajaan negeri tidak berdepan masalah jika Kerajaan Persekutuan hendak meneliti semula kesemua projek tebatan banjir di seluruh negara khususnya di Selangor.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk kesemua projek tebatan banjir diteliti memandangkan kebanyakan projek terbabit diadakan di negeri ini.

“Saya tidak kisah projek ini diteliti daripada aspek perolehan, namun saya telah memberi peringatan kepada menteri supaya ia diteruskan.

“Selepas majlis mengangkat sumpah menteri juga saya sudah menyatakan kepada Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) keperluan mendesak untuk projek ini disegerakan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) di Taman Sri Muda, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan sebelum ini dilaporkan dalam tempoh 24 jam selepas mengangkat sumpah mengambil langkah proaktif untuk memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pentadbirannya.

Justeru, beliau mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk meneliti semula projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion.

Izham menambah, jika ada keperluan untuk projek terbabit ditender semula dan perolehan disemak pihak kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan.

Malah beliau menjelaskan, projek tebatan banjir tersebut telah dicadangkan pihaknya pada tahun 2018 iaitu sebelum banjir besar berlaku di beberapa kawasan di negeri ini tahun lalu.

“Namun setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dua tahun lalu, projek tebatan banjir tersebut turut jatuh (tidak diteruskan) dan tidak lagi jadi keutamaan.

“Bukan kita hendak bermain politik tetapi itu hakikatnya.Projek ini penting dan kritikal serta telah tertangguh sejak lima tahun,” ujarnya. – UTUSAN

The post Projek tebatan banjir boleh diteliti tetapi perlu disegerakan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *