SUBANG JAYA: Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) hari ini mengemukakan Resolusi Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Summit USJ.

Penyerahan resolusi itu dilakukan oleh Presiden Prorakyat, Khairul Anuar Othman menerusi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin bersama beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) dan para pencarum KWSP yang turut hadir.

Khairul berkata, resolusi dan tuntutan tersebut susulan aduan-aduan yang diterima oleh Prorakyat daripada pencarum-pencarum KWSP melalui talian dan media sosial.

Katanya, antara tuntutan para pencarum adalah tuntutan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 sehingga RM30,000 ‘one-off’ sebagai solusi jangka pendek supaya rakyat tidak terputus wang tunai.

“Ada dalam kalangan pencarum ketika ini mempunyai tunggakan pinjaman bank yang perlu diselesaikan, tidak kurang juga yang hilang pekerjaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu dan ada juga yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan selepas kehilangan pekerjaan.

“Pinjaman daripada Tekun dan bank bukanlah jalan terbaik ketika ini,” katanya pada sidang media.

Tambah beliau, pengeluaran KWSP terbukti akan menggalakkan proses pemulihan ekonomi kerana pemulihan aliran wang akan berlaku melalui pembelian barang keperluan, pembayaran hutang, pembayaran bil-bil tertunggak, perbelanjaan sekolah anak-anak dan lain-lain.

Tegasnya, seramai 7.5 juta pencarum KWSP akan mendapat manfaat daripada resolusi itu sekiranya dilaksanakan seperti pelaksanaan pengeluaran khas KWSP pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Azman Abidin berkata, resolusi itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan dengan kebijaksanaan beliau.

“Saya hanya menerima usul ini dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan, soal pelaksanaan, semuanya bergantung kepada keputusan beliau,” ujarnya. – UTUSAN

The post Prorakyat kemuka Resolusi Pencarum KWSP kepada PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *