NIBONG TEBAL: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Palimen Nibong Tebal, di sini berjalan lancar dan terkawal dari sebarang insiden.

Tinjauan Utusan Malaysia sejak 8.30 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, di sini mendapati kesemua penyokong parti dilihat mematuhi undang-undang seperti yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak keselamatan.

Turut kelihatan pasukan polis trafik yang ditugaskan menjaga aliran trafik di sepanjang Jalan Serindit, Taman Desa Jawi, di sini bagi mengelakkan kesesakan dan insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri RS Thanenthiran, 59, tiba di pejabat cawangan UMNO Nibong Tebal, Jawi sekitar pukul 8.36 pagi diiringi Ketua Bahagian UMNO Cawangan Nibong Tebal. Datuk Shafie Kassim untuk memberi taklimat di hadapan hampir 400 penyokong.

Kerusi Parlimen tersebut dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan tiga lagi calon masing-masing penyandang bagi dua penggal berturut-turut Datuk Mansor Othman (Bersatu) daripada Perikatan Nasional (PN); blok Pakatan Harapan (PH)-Fadhlina Sidek (PKR) dan seorang calon bebas, Goh Kheng Huat.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Nibong Tebal dimenangi Mansor yang ketika bertanding atas tiket PKR dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) dengan jumlah undi sebanyak 19,578 undi manakala Mohd Helmi Harun (Pas) memperoleh 6,875 undi dan Tan Tee Beng (Bebas) (331 undi). – UTUSAN

The post Proses penamaan calon PRU15 Parlimen Nibong Tebal terkawal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *