MADRID: Sebuah kapsul berbentuk belon angkasa yang dibina oleh syarikat pelancongan angkasa berpangkalan di Sepanyol, selesai menjalani ujian penerbangan pertama, baru-baru ini.

Prototaip belon angkasa itu dilaporkan terapung sejauh 37 kilometer (km) dari permukaan bumi ke stratosfera. 

Lapor Daily Mail, ujian penerbangan prototaip tanpa pemandu itu berlangsung selama 4 jam 10 minit sebelum mendarat dengan selamat di kawasan yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Halo Space, Carlos Mira berkata, prototaip itu berlepas dari ibu pejabat Tata Institute of Fundamental Research di Hyderabad, India.

Katanya, ujian penerbangan prototaip itu berjalan lancar seperti yang dirancang.  

“Matlamat kami adalah untuk menguji sistem keselamatan, kawalan dan navigasi kerana ia merupakan dua bahagian paling penting dalam program penerbangan Halo Space.

“Prototaip itu bukan sahaja menunjukkan prestasi seperti diharapkan, malah kami juga dapat mengumpul data penting daripada sensor, instrumen dan kamera dipasang pada belon angkasa itu.

“Data itu akan digunakan sepanjang sistem itu dibangunkan dan persiapan untuk ujian penerbangan seterusnya dalam tempoh beberapa bulan lagi,” katanya.      

Halo Space merancang untuk menawarkan penerbangan komersial `sifar pelepasan karbon’ menerusi kapsul belon angkasa menjelang 2029.

Firma itu juga menyasar melakukan 400 penerbangan, dengan membawa kira-kira 3,000 penumpang setiap tahun.

Bagaimanapun, syarikat itu menawarkan tiket penerbangan pada harga sehingga AS$200,000 (RM883,346).  

Para pengembara berpeluang menikmati pemandangan 360 darjah Bumi ketika berada di dalam kapsul itu.

The post Prototaip belon angkasa selesai ujian penerbangan pertama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *