PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 15 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka sejak 4 November lalu hingga semalam adalah sebanyak 120 kes. 

Pengarah Op PRU-15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, daripada jumlah tersebut, lima kes dilaporkan di Kedah manakala tiga lagi di Pahang.

Katanya, selain itu, dua kes turut disiasat masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak.

“Kita juga membuka satu kes di Perak dan Selangor. Kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 324, 379, 427 Kanun Keseksaan dan beberapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, polis menahan tiga individu membabitkan dua individu berkaitan kes siasatan yang dibuka pada Jumaat lalu di Negeri Sembilan, manakala seorang lagi individu ditahan di Pulau Pinang.

Ujarnya, bagi kes tangkapan di Pulau Pinang,  polis menerima laporan daripada pengadu mengenai kejadian dipukul ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Prai Garden kira-kira pukul 7 pagi, semalam.

“Pengadu memaklumkan dia didatangi seorang lelaki yang memarahinya kerana membuat laporan ke atas suspek mencabut bendera DAP.

“Suspek kemudian bertindak mengambil batang besi lalu memukul kedua-dua kaki mangsa hingga berdarah dan mengambil kunci motosikal pengadu sebelum menelefon rakan-rakannya.

“Mangsa yang ketakutan terus melarikan diri. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka di kedua-dua kakinya. Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Tambahnya, polis mengesan sebanyak tiga ceramah yang dijalankan tanpa permit di Melaka, semalam.

“Kita juga mengeluarkan sebanyak 1,822 permit ceramah manakala tiga ceramah dikesan tanpa permit sah,” katanya.

“Setakat semalam, jumlah permit dikeluarkan pihak polis berkaitan ceramah PRU-15 adalah  7,584 dan 106 ceramah tanpa permit,” katanya.- UTUSAN

 

The post PRU-15: 15 kertas siasatan dibuka semalam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *