KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pihak berkaitan mengambil tindakan segera mengatasi isu harga tiket kapal terbang yang dilihat semakin tinggi ketika tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir. 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak mahu melihat isu harga tambang kapal terbang yang tinggi termasuk ke Sabah dan Sarawak menjadi penghalang untuk rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing bagi tujuan membuang undi.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan untuk melihat perkara tersebut secara lebih terperinci.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu harga tiket kapal terbang bukan di bawah seliaan KPDNHEP, namun, pihaknya mengambil serius setiap isu membabitkan kepentingan pengguna.

Katanya, setiap aduan yang diterima mengenai harga tambang pengangkutan udara itu akan disalurkan kepada kementerian dan agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk tindakan lanjut. 

“Kita ada pusat aduan yang beroperasi 24 jam, semua aduan termasuk yang berkaitan harga tiket ini kita akan salurkan kepada pihak yang bertanggungjawab agar ia tidak menjadi isu yang menghalang rakyat pulang mengundi.

“Kita ambil maklum keresahan rakyat terutama pengundi dari Sabah dan Sarawak kerana peningkatan itu sangat mendadak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis ramah mesra Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan sumbangan Food Bank Malaysia kepada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Terengganu di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU-15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Sabah.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 5 November.

Sejurus selepas itu, media sosial dibanjiri luahan kekecewaan rakyat yang mendakwa hanya orang kaya boleh balik mengundi kerana harga tiket kapal terbang sangat tinggi.

Pengundi terutama Sabah dan Sarawak, pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan golongan berpendapatan rendah antara yang akan terkesan dengan kenaikan tersebut. –UTUSAN

The post PRU-15: Ambil tindakan atasi isu harga tiket kapal terbang tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *