KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin gabungan suara Sabah dan Sarawak dalam sebuah blok yang kuat akan membolehkan kedua-dua wilayah diberi keutamaan dalam pelbagai aspek.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, gabungan suara Sabah dan Sarawak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai satu blok tidak boleh dipandang ringan oleh persekutuan.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk Sabah dan Sarawak bergabung suara bagi menuntut hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ia harus dijadikan syarat utama yang perlu kepada mana-mana parti nasional yang ingin membentuk kerjasama bersama parti-parti di Sabah dan Sarawak.

“Siapa juga ingin menjadi kerajaan di sana, mereka mesti memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu satu suara dengan Sarawak untuk mendapatkan hak-hak kita seperti dalam MA63,” katanya selepas majlis makan malam bersama komuniti Cina pada Selasa.

Mengulas tentang perjalanan kempen, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata, kempen yang dijalankan semakin rancak dan beliau berharap rakyat Sabah akan membuat pilihan secara bijak.

Bagi pihak GRS, mereka amat yakin gabungan kerjasama dengan Barisan Nasional di Sabah akan membolehkan mereka berjaya meraih kemenangan pada PRU-15.- UTUSAN

The post PRU-15: Dengar suara Borneo Blok untuk bentuk kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *