PETALING JAYA: Orang ramai yang pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), boleh mendapat diskaun tiket bas menerusi laman sesawang Easybook.com.

Laman itu menawarkan potongan harga sebanyak 15 peratus bagi yang menempah tiket pulang yang hanya menggunakan laman sesawang dan aplikasi mereka.

Bagaimanapun, menurut lawan sesawang itu, pembelian tersebut adalah bagi tempoh perjalanan dari 16 hingga 22 November dan tertakluk kepada terma serta syarat.

“Orang ramai hanya perlu menggunakan kod promo EB15OFF untuk mendapatkan potongan harga, sebelum tarikh akhir bagi tawaran tersebut iaitu pada 22 November,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bas Seluruh Malaysia ( PMBOA), Datuk Mohamad Asfar Ali, berkata, pihaknya kekal dengan tambang sedia ada dan tidak memberi diskaun.

Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menetapkan harga bagi tambang bas ekonomi ekpres adalah RM0.093 sen sekilometer.

Beliau berkata, pengusaha bas tidak disaran melakukan potongan harga tiket bas bagi mengelak penumpang mengambil kesempatan.

“Kita tidak pasti sama ada penumpang yang balik menggunakan bas ke kawasan masing-masing yang menjelang PRU nanti sama ada bertujuan balik mengundi atau tidak.

“Oleh itu, kita tidak dapat nak kawal dan jejak penumpang yang betul-betul nak balik mengundi, jika diskaun bagi harga tiket bas diberi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ketika ditanya sama pihaknya akan meningkatkan jumlah bas menjelang hari mengundi pada 19 November ini, katanya, buat masa sekarang, belum ada keputusan berhubung perkara berkenaan. – UTUSAN

The post PRU-15: Diskaun tiket bas melalui Easybook.com appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *