KUALA SELANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli bersedia menggalas amanah dan tanggungjawab untuk bertanding kerusi Parlimen Kuala Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga calon Gerakan Tanah Air (GTA) bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding dengan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Saya sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab berat itu demi rakyat dan negara tercinta.

“Matlamat utama saya adalah terus berkhidmat dan menabur bakti kepada rakyat di Parlimen Kuala Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Tun Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA mengumumkan lapan calon dari Pejuang sah akan bertanding pada PRU15.

Selain beliau yang bakal mempertahankan Parlimen Langkawi, calon itu antaranya Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Manakala, Ketua Pejuanita, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim akan bertanding di Sepang; Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah); ADUN Jeram, Mohd. Shaid (Kuala Selangor); ADUN Batang Kali, Harumaini Omar (Hulu Selangor) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa).

Dalam pada itu, Mohd. Shaid berkata, beliau kekal berpendirian menolak rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya berharap dapat diberi sokongan dan peluang untuk mewakili rakyat di Kuala Selangor,” katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Selangor itu dijangka sengit apabila dikatakan bakal ditandingi dua calon heavyweight iaitu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Minggu lalu, Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan mengesahkan mahu terus mempertahankan kerusi 096 itu
atas dasar ketaatan kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Kuala Selangor dimenangi Dzulkefly yang menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 8,498 undi.

Pertembungan tiga penjuru itu turut menyaksikan calon Pas yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Selangor, Mohd. Fakaruddin Ismail tewas. –UTUSAN

The post PRU-15: Mohd. Shaid sedia galas amanah berat tandingi Parlimen Kuala Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *