KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bersedia untuk menyumbang kerusi bagi pembentukan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, sekiranya mana-mana parti yang mendapat mandat pada PRU-15 ingin bergabung maka, parti KDM bersedia untuk bekerjasama.

Beliau berkata, dasar perjuangan dan matlamat parti sejak ditubuhkan adalah menghormati kerajaan yang memerintah atau mentadbir kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

“Kita akan hormati mandat rakyat jadi sesiapa sahaja akan membentuk kerajaan Persekutuan dan memerlukan gabungan kemenangan, calon di peringkat KDM sedia untuk membantu kerana itu adalah keputusan rakyat.

“Di peringkat parti KDM, kita tiada masalah untuk memberi mana-mana sokongan kepada mana-mana parti yang akan berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan nanti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Peter turut mengumumkan dua lagi calon parti KDM yang akan bertanding pada PRU-15 iaitu Jumardie Lukman, 40, dan Amat Md Yusof, 64.

Jumardie yang juga Ketua Pemuda KDM akan bertanding di Parlimen Sepanggar manakala, Amat akan bertanding di Parlimen Kimanis.

Jumardie yang juga bekas Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) akan bersaing dengan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman selaku penyandang kerusi Parlimen Sepanggar.

Setakat ini, parti KDM telah memperkenalkan empat calon dan calon lain akan diumumkan sebelum penamaan calon pada 5 November ini. Pada Sabtu ini, dijangka dua atau tiga lagi calon akan diumumkan di Tenom.

Mengulas lanjut katanya, latar belakang calon amat penting pada PRU-15 maka, penting bagi parti menampilkan calon-calon yang berpotensi.

“Maka, sama ada parti-parti bertanding akan bertembung empat atau lima penjuru sekali pun, tidak jadi masalah kepada kita kerana calon yang kita turunkan boleh dikatakan berpotensi memberi cabaran kepada parti-parti yang bertanding,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, ada beberapa wakil rakyat yang ingin bertanding di bawah tiket parti KDM namun, masih belum diputuskan lagi.

Namun, kemasukan wakil rakyat itu kepada parti KDM akan memperkuatkan lagi parti ini dalam menghadapi pilihan raya. –UTUSAN

The post PRU-15: Parti KDM sedia bantu bentuk kerajaan baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *