TENOM: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM), Datuk Peter Anthony akan memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi pada Isnin susulan pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom ditolak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, beliau mahu mahkamah memutuskan sama ada beliau layak mahupun tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat bagi meminta penjelasan daripada mahkamah mengenai status kelayakannya sebagai calon PRU-15.

Katanya, penghakiman bagi kesnya sebelum ini telah dibenarkan untuk digantung maka, ia bermakna beliau tidak mempunyai apa-apa kesalahan pada masa ini.

“Semua dokumen itu telah saya serahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya namun, mereka tidak terima perkara ini dan seolah-olah saya seperti seorang penjenayah dan tidak layak bertanding.

“Kita serahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada saya layak bertanding atau tidak kerana penghakiman Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan sabitan kesalahan saya,” katanya.

Peter berkata, seperti ada tangan ghaib yang menyebabkan pencalonannya ditolak kerana pada awalnya, pencalonan beliau telah diterima oleh pegawai pengurus pilihan raya daerah namun, ditolak pada saat-saat akhir.

Menurut beliau, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonannya menyebabkan kira-kira 5,000 orang penyokong di Tenom tidak berpuas hati.

Semasa penamaan calon pagi tadi, berlaku kekecohan sehingga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan penyokong parti KDM yang tidak berpuas hati dengan penolakan pencalonan Peter.

Justeru, kerusi Parlimen Tenom pada PRU-15 menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar dari Barisan Nasional, Ukim Buandi daripada Parti Warisan (Warisan) dan dua calon Bebas iaitu Riduan Rubin dan Peggy Chaw Zhi Ting. –UTUSAN

The post PRU-15: Peter Anthony tidak puas hati pencalonan ditolak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *