ARAU: Perikatan Nasional (PN) yakin membentuk kerajaan dengan memperolehi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen menerusi parti-parti di dalam gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jumlah tersebut termasuk melibatkan gabungan di Sabah dan Sarawak.

Kata Presiden Pas itu, pihaknya juga mensasarkan memenangi 40 daripada lebih 60 kerusi Parlimen yang ditandingi calon mereka. 

Katanya, hasil ‘post mortem’ mendapati pengundi telah menolak Pakatan Harapan (PH) malah mereka juga tidak memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti pilihan.

“Kita harap PRU15 ini mereka akan keluar untuk mengundi dan jumlah (undian) diterima kita juga akan meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Bilik Gerakan Utama PN Arau di Hutan Kandis di sini malam tadi.

Hadir sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu, pemilihan calon bagi mewakili gabungan itu juga telah dimuktamadkan dan kepimpinan negeri masing-masing akan mengisytiharkan senarai nama calon dalam masa terdekat.

“Kita menjangkakan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan negeri,” katanya. 

Ketika ditanya mengenai kenyataan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyeru ahli dan penyokong Pas untuk mengundi BN pada PRU15, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. 

“Dia bukan lagi orang Pas,” jawabnya ringkas. – UTUSAN

The post PRU-15: PN yakin menang majoriti dua pertiga appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *