KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menjadi parti politik pertama di Sabah yang mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan partinya akan bertanding di semua 25 kerusi parlimen di Sabah.

Setakat ini, Warisan sudah mengumumkan tiga calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini.

Calon pertama yang diumumkan ialah Datuk Adnan Puteh yang akan bertanding kerusi Parlimen Sipitang.

Peguam kanan itu antara muka baharu yang ditampilkan oleh Warisan pada PRU kali ini.

Pada Sabtu, Mohd. Shafie mengumumkan dua lagi calon yang akan bertanding mewakili Warisan di kerusi Parlimen Kimanis dan Papar.

Bagi kedua-dua kerusi itu, Warisan mengekalkan muka lama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof untuk bertanding di Parlimen Kimanis manakala, di Papar pula, Warisan mencalonkan semula Ahmad Hassan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Papar.

Pada masa ini, kerusi Parlimen Sipitang disandang oleh Yamani Hafez Musa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala, kerusi Parlimen Kimanis disandang oleh Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional.

Pada PRU-14, Warisan memenangi sembilan kerusi parlimen termasuk Parlimen Labuan, sebelum Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi bertindak keluar parti.

Kini, tujuh kerusi Parlimen disandang oleh Warisan dan satu kerusi iaitu Parlimen Batu Sapi diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia.

Selain Sabah, Warisan juga akan bertanding di tujuh negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.- UTUSAN

The post PRU- 15: Warisan umum tiga calon appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *