PADANG BESAR: Sebanyak 134 cawangan UMNO di Padang Besar menyokong Datuk Zahidi Zainul Abidin kekal bertanding di kerusi Parlimen berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Besar, Hazmi Sulaiman berkata, menerusi mesyuarat bahagian pada 22 Ogos lalu, Zahidi telah dipilih sebulat suara untuk mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.

Katanya, akar umbi parti di peringkat cawangan sememangnya amat berharap agar Zahidi dapat dicalonkan semula memandangkan beliau dapat memberi kemenangan buat BN pada kali ini.

“Kalau kita perhatikan, rekod sewaktu PRU14 di Padang Besar menyaksikan kita mencapai kemenangan 6-0 membabitkan satu kawasan Parlimen dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi sewajarnya kedudukan kemenangan kami 100 peratus pada pilihan raya lepas tidak diganggu oleh pihak lain dalam menentukan calon pada PRU15,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan BN Parlimen Padang Besar di sini hari ini.

Menjelang pengumuman calon BN malam ini, nama Zahidi yang juga Ketua UMNO bahagian itu dikatakan gugur sebagai calon bagi Parlimen berkenaan. Selain Zahidi, seorang lagi pemimpin ‘otai’, Datuk Seri Shahidan Kassim juga dikatakan tidak terpilih mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Zahidi menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri.

Dalam pada itu, Hazmi berkata, satu mesyuarat jawatankuasa khas juga akan dilaksanakan sekiranya nama Zahidi tidak diumumkan sebagai calon parti itu pada malam ini.

“Setakat ini, Ahli Jawatankuasa Bahagian masih belum memutuskan tindakan selanjutnya jika Zahidi tidak tercalon dan bilik gerakan parti juga masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Tambahnya, ada dalam kalangan ahli pemimpin parti tidak berpuas hati apabila mendapat perkhabaran Zahidi digugurkan namun pimpinan di bahagian masih dapat mengawal sebarang tindakan tidak sewajarnya.

Pada PRU14, Zahidi memenangi kerusi Parlimen Padang Besar dengan majoriti 1,438 menerusi pertembungan tiga penjuru melawan calon PKR, Izizam Ibrahim dan Pas, Mokhtar Senik. Zahidi mendapat sebanyak 15,032 undi manakala Izizam pula 13,594 dan Mokhtar 7,874 undi. – UTUSAN

The post PRU15: 134 cawangan UMNO Padang Besar mahu Zahidi kekal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *