BERIKUT adalah antara ringkasan cerita-cerita politik menarik sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepanjang 24 jam lepas:

MASHITAH Ibrahim (kanan) bertemu usahawan-usahawan wanita di Kuala Kedah. UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH

Bapa saya pernah mengajar di Kuala Kedah – Mashitah

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menepis dakwaan bahawa beliau orang luar di kawasan tersebut seperti dijaja pihak lawan.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu berkata, arwah bapanya, Ibrahim Yaakob adalah bekas guru yang mengajar di sekolah sekitar Kuala Kedah ketika masih kecil selain mempunyai ramai saudara-mara di kawasan itu.

“Ayah saya pernah menjadi guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kechai dan seingat saya Kuala Kedah ini tempat saya juga kerana saya selalu mengikut arwah bapa waktu dia mengajar di sekolah dan masjid.

“Kebanyakan penduduk mengenali arwah bapa kerana khidmatnya dahulu. Jadi saya berhasrat menyambung legasi arwah bapa untuk berkhidmat di sini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama usahawan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.

SYAHREDZAN Johan bersama bapanya, Tan Sri Johan Jaaffar dan ibunya ketika berarak menuju ke Pusat Penamaan Calon PRU15 Parlimen Bangi. – IHSAN PH BANGI

Syahredzan tidak pernah kesal sertai DAP

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan, dia tidak sekali-kali menyesal menyertai DAP sebagai satu platform memperjuang hak rakyat.

Setiausaha Politik kepada veteran DAP, Lim Kit Siang itu berkata, parti tersebut adalah satu wadah perjuangan untuk semua kaum dan khidmatnya dalam DAP atas kapasiti sendiri dengan memberi tumpuan kepada hak keadilan serta kebajikan semua yang tertindas dengan undang-undang tidak adil.

“Saya tidak pernah walau sekali pun menyesal membuat keputusan masuk DAP untuk berjuang dalam politik kerana dalam parti ini, semua kaum ada tempat.

“Orang Melayu masuk DAP macam-macam kena cerca dan maki hamun serta kena panggil pelbagai gelaran, malah saya sendiri pun kena,” katanya ketika berucap dalam Mega Ceramah PH di Bandar Damai Perdana, Bangi, Selangor.

MOHD. DAUD LEONG Abdullah ketika berceramah dari ‘boot’ kenderaan pacuan empat roda di Neocyber, Cyberjaya. – UTUSAN/AMREE AHMAD

Ceramah Daud Leong macam aksi penjual ubat

Meskipun muncul sebagai calon pertama mengadakan ceramah umum di kawasan Parlimen Sepang, aksi Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah ternyata begitu santai.

Malah, calon tunggal Parti Utama Rakyat (PUR) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu hanya berucap dengan berdiri dari but di sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Tanpa sebarang khemah, peguam mualaf berketurunan Cina dan berusia 57 tahun dari Ipoh, Perak itu menjadikan tempat simpan barang kereta partinya sebagai pentas mudah alih.

“Insya-Allah saya akan bawa ‘suara’ anda semua untuk perhatian pihak berkuasa termasuk pelbagai isu komuniti seperti masalah lampu jalan dan anjing liar di kawasan ini,” katanya ketika berucap di Neocyber, Cyberjaya, Sepang. – UTUSAN

 

The post PRU15: 24 JAM LALU appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *