PETALING JAYA: Berikut ringkasan cerita-cerita politik menarik sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

KHAIRY Jamaluddin ketika berucap pada Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama.

Khairy hasrat jadi PM satu hari nanti

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin memohon sokongan pengundi kerusi tersebut memenangkan beliau bagi memudahkan laluannya untuk mengetuai UMNO dan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Khairy yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau berkata, kemenangan di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membolehkannya memperoleh sokongan kuat untuk menjadi pemimpin tertinggi kelak.

Menteri kesihatan itu berkata, ini kerana beliau satu-satunya pemimpin yang memenangi Parlimen tiga penggal berturut-turut di kerusi selesa bertanding di kawasan kubu kuat pembangkang dengan majoriti 26,000 undi pada PRU lalu.

“Ini kali pertama saya kata begini tetapi bukanlah sekarang kerana jika kita menang kekanda saya, Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri Malaysia, saya umur 46 tahun boleh tunggu lagi tapi jangan lama sangat,” katanya dalam ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama, di sini.

ABDUL HADI Awang (kiri) hadir pada majlis Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto PN Pahang di Jerantut, Pahang.

Undi adalah wajib, bukan sunat, bukan harus – Abdul Hadi

JERANTUT: Semua rakyat Malaysia dinasihatkan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini kerana ia adalah kewajipan, bukan sunat dan harus difahami sebagai tanggungjawab bagi menentukan pemimpin negara.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengundi adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan berbanding menunaikan umrah yang sunat buat umat Islam.

“Memilih pemimpin di atas dunia ini adalah perkara yang disoal pada hari kiamat termasuk amalan serta tingkah laku kita dalam hubungan dengan masyarakat, keluarga dan sebagainya.

“Rakyat perlu melantik pemimpin untuk mewakili mereka seterusnya membentuk kerajaan yang baik untuk mentadbir negara. Tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih pemimpin yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT,” katanya ketika berucap pada majlis Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto PN Pahang di sini.

 

KHALID Ahmad (baju putih) melihat jentera memasang bendera Warisan di Pauh, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Pak Lid sebati di Pauh, yakin sumbang kerusi Warisan

ARAU: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Mohd. Khalid Ahmad percaya hubungan baiknya bersama penduduk setempat menjadi nilai tambah bagi meraih sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mohd. Khalid yang lebih mesra disapa Pak Lid berkata, dia telah biasa berada di Pauh sejak 26 tahun lalu dan banyak mendekati serta membantu menyelesaikan masalah penduduk dalam tempoh berkenaan.

Katanya, situasi itu memudahkan pergerakan kempen jenteranya untuk mendekati penduduk namun dia tidak mahu terlalu selesa dan mendekati seramai mungkin pengundi termasuk kaum Cina.

“Atas faktor itu, saya berkeyakinan dapat menawan DUN Pauh untuk menyumbang satu kerusi buat Warisan menerusi pendekatan kempen rumah ke rumah dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Warisan Arau, Perlis.

SELANGOR memberikan cuti umum pada 18 November ini sempena PRU15.

Selangor isytihar cuti umum 18 November

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan 18 November ini sebagai cuti umum dan hari pelepasan sebagai persediaan mengundi di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu berikutan Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai iaitu lebih 3.67 juta orang.

“Terdapat jumlah besar warga Malaysia bekerja dan bermastautin di negeri ini, namun mengundi di kampung halaman di negeri lain.

“Oleh demikian, Kerajaan Selangor Negeri memutuskan secara amnya memberi cuti umum sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu pada Jumaat minggu depan,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

The post PRU15: 24 JAM LALU appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *