GEORGE TOWN: Kira-kira 6,000 nelayan yang menjadi ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) memberi bayangan tidak akan mengundi pemimpin parti politik yang menyokong projek tambakan laut selatan (PSR) dan projek tambakan laut lain di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Rose berkata, golongan nelayan Pulau Pinang sebulat suara hanya akan menyokong pemimpin parti yang mengutamakan kebajikan dan masa depan mereka.

“Kami akan menolak mana-mana pemimpin parti yang menyokong projek tambakan laut dan hanya menyokong pemimpin yang membela nasib serta masa depan nelayan,” katanya dalam sidang akhbar di PenMutiara, di sini hari ini.

Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi itu membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

Menurut Ibrahim, ahli-ahli PenMutiara juga menyeru Kerajaan Pusat baharu yang bakal dibentuk selepas PRU15 menolak dan membatalkan projek PSR dan mana-mana projek tambakan lain di negeri itu.

“Sehingga hari ini, terdapat lebih 10 cadangan projek penambakan di seluruh negeri ini yang sudah pasti memberi impak negatif kepada komuniti nelayan.

“Oleh itu, kami meminta kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas PRU15 membatalkan projek PSR dan cadangan projek tambakan lain di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, kerjaya sebagai nelayan mungkin akan terhapus pada masa depan sekiranya kesemua 10 projek tambakan itu dilaksanakan di negeri ini.

“Kawasan laut Pulau Pinang Selatan merupakan lubuk bagi spesis hidupan marin seperti ikan malah spesis udang bermutu tinggi juga membiak di kawasan ini.

“Jadi, sekiranya projek tambakan tetap dilaksanakan di sini sudah pasti krisis bekalan ikan akan berlaku kerana kawasan pembiakan spesis hidupan marin telah musnah,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: 6,000 nelayan Pulau Pinang tolak parti sokong tambak laut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *