NIBONG TEBAL: Meskipun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Nibong Tebal, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri RS Thanenthiran akan tetap meneruskan agenda memperjuangkan nasib rakyat teramai di situ.

Beliau yang lebih mesra disapa sebagai ‘Cikgu Thanen’ berkata. kekalahan tersebut tidak akan melunturkan semangatnya untuk berkhidmat kerana itulah yang telah dilakukannnya sejak dahulu lagi.

“Secara ikhlasnya saya sedih, tetapi semangat saya untuk terus bersama masyarakat dalam usaha membantu dan berkhidmat tidak akan terhenti di sini.

“Saya reda dengan keputusan ini dan berharap penduduk Nibong Tebal akan terus maju. Perjuangan saya adalah ikhlas dan suci kepada rakyat dan akan berterusan sehingga akhir hayat saya.

“Terima kasih juga kepada semua termasuk jentera parti yang telah banyak membantu dan saya setulus hati memohon maaf jika ada kekurangan sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, calon muka baharu Pakatan Harapan (PH), Fadhlina Sidek berjaya menawan Parlimen Nibong Tebal apabila menewaskan penyandang terdahulu untuk dua penggal berturut-turut Datuk Mansor Othman daripada Perikatan Nasional (PN).

Fadhlina memperoleh undi sebanyak 42,188 mengalahkan Mansor yang mendapat 25,895 undi dengan majoriti sebanyak 16,293.

Sementara itu,Thanenthiran memperoleh sebanyak 10,660 undi dan calon Bebas, Goh Kheng Huat hanya memperoleh 565 undi dengan jumlah undi ditolak sebanyak 1,021.

Parlimen itu menyaksikan jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 80.43 peratus berbanding jumlah pemilih. – UTUSAN

The post PRU15: Akur kalah di Nibong Tebal, calon BN tetap terus berkhidmat kepada rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *