KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan isu berlaku pada 22 bulan Kerajaan PH sebelum ini tidak akan berulang sekiranya pakatannya menang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. 

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, ini kerana individu yang merajui kerajaan PH akan datang dan kerajaan PH sebelum ini adalah dua individu yang berbeza. 

“22 bulan itu ada keutamaan yang baik dan ada juga kelemahan, beza apa? Ketua 22 bulan Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketua yang akan datang Anwar Ibrahim, (jadi) ada beza. 

“Yang kedua, dalam Malaysia ini, dasar kita soal Melayu, bahasa, Islam dan Raja-Raja itu tidak boleh dipertikai dan untuk berlaku adil, DAP memang menandatangani ikrar perjanjian tersebut (untuk tidak mempertikaikan perkara itu). 

“Seterusnya kita harus juga faham, di Malaysia ini kita kena terima kenyataan majoritinya Melayu dan pimpinannya Melayu, tetapi kita perlukan masyarakat Cina, India, Kadazan serta Iban untuk memerintah dengan stabil, namun dasar harus jelas (malah) kalau kepimpinan kita tegas, tak ada masalah,” katanya pada Majlis Pelancaran buku ‘Membangun Negara Madani’ di sebuah hotel di sini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya peserta yang hadir bagi membantu kemenangan PH dan membidas tanggapan DAP yang sebagai hantu yang menjelmakan diri dan wajah selama 22 bulan pemerintahan Kerajaan PH. 

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, buku yang dilancarkan hari ini diilhamkan daripada pengalaman politik, kegiatan dakwah dan pembacaan ribuan buku dalam menghasilkan buku serta catatan isu-isu berkaitan negara dan wawasan ketika mengikuti hukuman penjara sebelum ini. 

Beliau berkata, ini kerana penghasilan buku itu bagi mengelakkan negara hanya terikat dengan soal parti dan soal tokoh tanpa membicarakan kerangka serta pelan dasar untuk menerajui negara. 

“Kita hanya bicara soal siapa wakil rakyat, pengganti dan perdana menteri tetapi apa rencananya, apa kerangka besar pemikirannya? ini lah saya sebut dalam (buku) Madani, jadi mudah-mudahan ia dapat dibaca, ditegur, dikritik dan diulas. 

“Ia bukan penyelesaian kepada semua masalah, ini hanya pandangan saya setelah mengambil kira pandangan rakan-rakan di Malaysia, antarabangsa dan sarjana itu, yang kita dapat lakarkan,” ujarnya. 

“Saya juga harap ia dapat dijadikan tajuk perbincangan daripada maki hamun dalam pilihan raya ini, jadi tengok dasar, isu kemampanan ekonomi, isu ehsan, mengapa kita perlukan sifat rahmat dan penyayang, mengapa perlukan pertahankan soal nilai dan akhlak yang menjadi teras dalam Islam dan saya percaya dapat didukung oleh agama lain, jadi ini yang boleh setuju boleh tegur, boleh kritik jadi ia perbahasan yang lebih teratur dan sopan,” katanya. –UTUSAN

The post PRU15: Anwar beri jaminan isu 22 bulan PH tak berulang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *