PERMATANG PAUH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memotong barisan ketika mahu mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, di sini sebentar tadi.

Anwar yang tiba di pusat pembuangan undi kira-kira pukul 9 pagi pada mulanya kelihatan berbaris bersama ratusan pengundi lain di luar bilik pengundian.

Walau bagaimanapun, kehadiran calon kerusi Parlimen Tambun itu mendapat tumpuan lebih 50 pengamal media dalam dan luar negara menyebabkan kesesakan sehingga mengganggu pengundi lain yang sedang menunggu giliran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San kemudiannya mendapatkan kebenaran daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan Anwar mengundi dahulu bagi memastikan kesesakan di PDM dapat dikawal.

Anwar kemudiannya dilihat meminta maaf kepada penggundi yang sedang berbaris kerana terpaksa berbuat demikan bagi memastikan keselesaan orang ramai dan kelancaran proses pengundian.

“Saya minta maaf ya terpaksa ke depan, kalau tidak sesak dengan wartawan di sini.

“Selepas selesai mengundi saya akan bergerak ke Tambun untuk meninjau proses pengundian dan berjumpa dengan penyokong saya di sana,” katanya.

Anwar hanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk proses pengundian sebelum beredar dan beramah mesra bersama orang ramai di pusat pembuangan undi terbabit.

Kerusi Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru yang mana penyandang kerusi berkenaan, Nurul Izzah Anwar, 42, (PH) akan berdepan dengan Datuk Mohd. Zaidi Mohd
Said (BN); Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN) dan Mohamad Nasir Othman (GTA- Pejuang).

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Beliau memperolehi 35,534 undi mengalahkan calon BN, Mohd. Zaidi yang memperolehi 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Anwar atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982. – UTUSAN

The post PRU15: Anwar terpaksa potong barisan untuk mengundi elak sesak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *