KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) Selangor mengintai peluang memenangi beberapa kerusi Parlimen meskipun terpaksa bergerak solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, peluang itu berdasarkan hasil kajian simulasi yang dijalankan parti itu sebelum ini. 

Kata beliau, jika BN mampu mengatasi Parlimen, tidak mustahil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu dirampas biarpun tidak berlangsung serentak dengan kerajaan Persekutuan.

“Kalau boleh menang peringkat Persekutuan (Parlimen), mungkin DUN yang kita menang kita dapat dipertahankan dan yang tewas kita rampas. 

“Kita ada sasaran kerusi Parlimen tetapi belum boleh diumumkan pada masa ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini, hari ini.

Noh yang Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, parti keramat itu bersedia bergerak solo dan berdepan kemungkinan menentang tiga penjuru pada PRU15. 

 “Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang namun, kalau ikut keadaannya terkini, UMNO kena bergerak solo dan kita sentiasa akur dengan segala arahan,” katanya.

Ditanya harapan UMNO dan Pas bersatu semula menerusi Muafakat Nasional (MN) pada PRU15, beliau berkata, kenyataan dikeluarkan kedua-dua parti seperti tiada sinar lagi. 

“Namun, dalam senario politik, apa jua boleh berlaku dan pastinya jentera UMNO perlu bersiap sedia.

“Kemungkinan akan bertembung tiga penjuru sama seperti PRU14 lalu, tetapi saya yakin kita ada kekuatan dan kelebihan untuk menarik sokongan pengundi,” katanya.

Pada PRU14, BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Parlimen Tanjong Karang dan Sabak Bernam. 

Namun, BN tinggal satu kerusi Parlimen berikutan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu. – UTUSAN

 

The post PRU15: BN Selangor intai peluang biarpun solo appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *