KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang akan menampilkan kombinasi muka lama dan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, itu tradisi biasa yang dilaksanakan sejak dahulu lagi. 

“Sejak kita mengadakan pilihan raya, pastinya ada muka baharu dan lama. 

“Tidak pernah lagi di negeri Pahang dalam penggal sebelum ini dan bila bubar sahaja Dewan, orang sama sahaja dilantik,” katanya dalam sidang akhbar khas di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Mengenai calon BN Pahang pada PRU15 kali ini, Wan Rosdy berkata, ia  belum muktamad. 

Berhubung saingan pada pilihan raya umum (PRU) kali ini, beliau berkata, ia suatu perkara yang tidak boleh diambil remeh kerana BN sentiasa berdepan ancaman daripada pelbagai pihak yang tidak sehaluan parti itu.

“Oleh sebab itu di Pahang ini, kita telah memulakan gerak kerja awal bukan sahaja dekat atau hampir sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) hendak dibubarkan baharu kita buat begitu begini dan sebagainya. 

“Ini boleh dilihat melalui rekod lampau kerajaan negeri terutama sekali daripada segi prestasi kutipan hasil kerajaan negeri, yang kedua daripada segi bagaimana kita mengurangkan hutang kerajaan negeri,” katanya. 

Ketiga, katanya, pelbagai perkara dilakukan untuk bantuan kepada rakyat termasuk ketika negara berdepan penularan Covid-19.

“Ini bermakna kita melaksanakan tanggungjawab kita sebaik mungkin untuk rakyat, bukan kata sebulan dua hendak bubar dewan baru kita buat itu dan ini,” katanya. – UTUSAN

The post PRU15: BN tampil kombinasi muka baru, lama di Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *